NEGERI SEMBILAN: Seramai 158 pegawai dan 3629 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada 18 detasmen dari semua Kor dalam Tentera Darat (TD) termasuk pasukan elit Rejimen Gerak Khas dan 10 Briged Para terlibat dalam Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-84 yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 1 Mac 2017.
Perbarisan diketuai oleh Panglima 3 Div Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan Penolong Ketua Perbarisan ialah Panglima 10 Bgd Para Brig Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dengan slogan baharu TD, Tentera Darat Satu Kerana Bersatu.
Sejurus ketibaan PTD, beliau menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan dan lintas hormat dari Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) terdiri dari dua buah pesawat Agusta dan sebuah helikopter Nuri lalu meneruskan acara dengan memeriksa barisan.
Dalam ucapan PTD, beliau menekankan lima teras utama TD iaitu Kesiagaan, Kesepaduan, Pengurusan Organisasi, Kualiti Hidup dan Peneguhan Profesionalisme yang mana akan menaikkan imej TD itu sendiri.
“Saya menekankan warga TD terus beriltizam dan komited untuk memperkukuhkan semua elemen yang telah saya nyatakan tadi dan ia perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan dan latihan yang berterusan sebagaimana yang telah digariskan dalam pelbagai direktif PTD yang telah dikeluarkan,”tegasnya.
Selain itu, beliau berkata TD merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia diatas kepercayaan dan sokongan untuk pembangunan TD serta menghargai segala bentuk kerjasama dari mana-mana pihak bagi menentukan penghormatan rakyat terus dipelihara demi tugas dan tanggungjawab mempertahankan maruah serta kedaulatan negara agar terus terpelihara selamanya.
Perbarisan diteruskan dengan 10 anggota TD menerima Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) dan 10 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan dua kakitangan awam Kementerian Pertahanan menerima Sijil Kepujian Ketua Perkhidmatan (SKKP) manakala penerima Anugerah Kesiagaan PAT bagi Perkhidmatan TDM dianugerahkan kepada Rejimen 21 Grup Gerak Khas.
Turut hadir, Timbalan Panglima TD, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohamad Nawawi, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Datuk Mohd Zaki Hj Mokhtar dan mantan-mantan PTD.
[box type=”info” align=”” class=”” width=””]Gambar-gambar di Galeri Foto[/box]