KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim menyempurnakan Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-84 yang dihadiri oleh pegawai dari pelbagai Kor dan Rejimen Tentera Darat (TD) bertempat di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 17 Mac 17.
Majlis yang penuh istiadat ini merupakan adat serta budaya rejimental yang diamalkan sejak sekian lama bertujuan untuk menghargai dan meraikan Hari Tentera Darat disamping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim yang telah terjalin di antara mantan-mantan PTD bersama pegawai-pegawai TD walaupun mereka telah bersara.
Dalam ucapan PTD, beliau dengan rasa terharu mengalukan-alukan serta menzahirkan ucapan terima kasih diatas kehadiran Raja Muda Selangor dan mantan PTD ke majlis ini.
“Sebagai sebuah organisasi yang berdisiplin, semangat dan profesional, TD menitikberatkan setiap warganya sama ada pemimpin mahupun anggota yang dipimpin untuk sentiasa bersatu dalam memacu kecemerlangan organisasi sebagai sebuah ketumbukan yang berintegriti dan telus,”ujar PTD.
Beliau turut menyeru agar pegawai-pegawai TD dapat memainkan peranan masing-masing dalam mendukung hasrat TD untuk kekal menjadi sebuah organisasi yang ampuh dan sentiasa disegani rakan serta dihormati lawan dengan peka terhadap keadaan semasa terutamanya aspek perubahan doktrin, bentuk latihan, pengurusan anggota dan penyelenggaraan aset-aset TD terkini.
Turut hadir, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Timbalan Panglima TD, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohamad Nawawi, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Datuk Mohd Zaki Hj Mokhtar dan Panglima-panglima formasi.