PAHANG: Tentera Darat (TD) hari ini kehilangan seorang pegawai kanan wanita dari Kor Risik Diraja (KRD) yang telah mencurahkan khidmat bakti selama 39 tahun sembilan bulan lima hari kepada nusa dan bangsa tercinta apabila secara rasminya Perbarisan Penghargaan Brig Jen Dato’ Norhuda Ahmad yang diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi telah dilaksanakan di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia ( KP ATM) pada 18 Mei 17.
Seramai 18 pegawai dan 181 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) KRD terlibat dalam perbarisan yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Ranizal Ismail, dari Cawangan Risik Divisyen Kedua Infantri Malaysia, penolong Ketua Perbarisan Mej Ahmad Ermy Fikri Harith Fadilah dari Jab Arah Risik, Ajutan perbarisan Kapt Nur Izzati Madzrib dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dan Sarjan Mejar Rejimen (SMR) perbarisan, Peg Waren I Mohd Rafei Abd Rahman dari Kolej Perisikan ATM dan pancaragam yang mengiringi perbarisan adalah Pancaragam Gabungan Wanita dari Rejimen Semboyan Diraja dan Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA).
Berkumpulnya seluruh warga KRD pada hari ini akan mencatatkan satu kenangan manis yang tidak akan dilupakan kepada Brig Jen Dato’ Norhuda Ahmad yang merupakan salah seorang daripada sekumpulan Pegawai-Pegawai Muda Wanita AW yang menjadi perintis untuk berkhidmat secara tetap dan seterusnya menubuhkan Kor Pegawai Wanita di dalam TD ini telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Wataniah (AW) pada 07 Jan 1978 dan berkhidmat dengan KRD mulai tarikh tersebut.
Brig Jen Dato’ Norhuda Ahmad juga merupakan pegawai wanita yang banyak menempa kejayaan serta mencipta sejarah antaranya sebagai wanita pertama dalam TD dianugerahkan dengan sayap penerjunan selepas lulus dalam Kursus Asas Payung Terjun, pegawai wanita pertama dari senarai tugas am TD yang dinaikkan pangkat ke Kol dan menjawat jawatan sebagai Komandan Wanita Pertama di Pusat Latihan Perisikan di Sungai Buloh dan juga pegawai wanita pertama KRD dinaikkan pangkat Brig Jen.
Menyentuh sedikit latar belakang beliau, anak watan Johor yang dilahirkan pada 25 Jun 1957 ini merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradik hasil perkahwinan Allahyarham Hj Ahmad Sa’don seorang Pegawai Penjara bersama Puan Hjh Norani Abdullah merupakan bekas guru memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa ITM (1998), Ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia UPM (2002), Master Defence Studies UKM (2003) dan Master In Policing, Intelligence And Counter Terrorism (2010) dan jawatan terakhir yang disandang beliau ialah Inspektorat Jeneral (IJ) BSPP serta beliau merupakan Mantan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita (JKHEW) TD.
Dalam ucapan terakhirnya, beliau merasa terharu dan bangga bukan sahaja kerana perbarisan yang dipersembahkan berjalan dengan lancar dan sempurna, malah ia turut dihadiri oleh ibundanya yang tercinta sekaligus membangkitkan nostalgia memori lalu.
Pada 07 Jan 1978, ibu bapa saya telah menyaksikan perbarisan pentauliahan saya sebagai seorang pegawai TD dan alhamdulillah pada perbarisan penghargaan saya, ibu saya ada bersama untuk menyaksikan persaraan saya pula, sayangnya orang yang paling berbangga dengan perkhidmatan ketenteraan saya iaitu arwah bapa saya tiada lagi untuk sama-sama meraikan saya pada hari ini,” ujar beliau.
Turut hadir Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Dato’ Hj Khlir Hj Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Dato’ Mohd Sobri Paridaludin Ismail, Ketua Unit Khas Pejabat Peguam Negara, Mej Jen Dato’ Ghazali Hj Ismail, Pengarah KRD, Kol Mahmud Ahmad serta pegawai dan anggota LLP KRD.
Gambar: Kapt Aminin Hafizhin Minhad, LKpl Ainur Aisyah Yahaya dan Saifun Hakimi Zainon.