NEGERI SEMBILAN: Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diiringi Panglima Tentera Darat Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim dipertontonkan dengan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) Tentera Darat Tahun 2017 di Lapang Sasar Gemas pada 22 Mei 2017.
Terdahulu acara dimulakan dengan Panglima 3 Div, Mej Jen Hasagaya Abdullah memulakan ucapannya dengan mengalu-alukan kehadiran delegasi dari luar negara serta Penuntut Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) dan berkata bahawa objektif LKT pada tahun ini adalah sebagai pertunjukkan realistik terhadap pengoperasian yang melibatkan elemen Infantri, Artileri, Armor, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan akhir sekali penglibatan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Selain itu, latihan ini yang dahulunya dikenali sebagai Demonstrasi Kuasa Tembakan (DKT) merupakan aktiviti tahunan yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada Siswa Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) tentang keupayaan manuver dan kuasa tembakan TDM melibatkan 120 Siswa tempatan dan 45 Siswa luar negara.
Latihan ini diadakan dalam dua segmen iaitu Segmen Dinamik dan Pameran Statik serta Segmen Tembakan Tidak Langsung untuk melihat kuasa tembakan dan impak ke atas sasaran sistem persenjataan yang terdapat di dalam inventori TDM termasuk keupayaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.
Turut hadir Komander 506 Askar Wataniah, Tengku Temenggong Kelantan Brig Jen Tengku Temenggong Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Timbalan Panglima Tentera Darat Australia, Mej Jen Rick Burr, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi dan Penasihat Pertahanan Asing.
Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan