KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V iaitu Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra berkenan mencemar duli tuanku ke Majlis Berbuka Puasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama warga Angkatan Tentera Malaysia di Masjid Khalid Al-Walid, KEMENTAH pada 23 Jun 2017.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bersama Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishamudin Tun Hussein di perkarangan masjid.
Majlis dimulakan dengan berbuka puasa dan selepas itu baginda menyertai jemaah yang hadir menunaikan solat Mahgrib yang diimamkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Brig Jen Dato’ Hj Nawawi bin Daud. Setelah selesai solat maghrib, majlis diteruskan dengan santapan makan malam, solat Isyak dan seterusnya solat terawih. Majlis diakhiri dengan santapan moreh bersama warga KEMENTAH.
Turut hadir adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan panglima-panglima perkhidmatan.