Bersama PemimpinSemasa

Veteran ATM Terima Enam Insentif

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak teruja dan berbangga dengan kehadiran lebih 15,610  Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari seluruh Malaysia yang hadir dalam Perhimpunan Veteran ATM dan Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2017 disempurnakan oleh beliau sempena Hari Pahlawan di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC) pada 31 Jul 2017.

Terdahulu dari itu beliau yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut  Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein turut melahirkan rasa kagum apabila dapat bersalaman dengan para veteran ATM yang dianggap sebagai masih kuat dan merasai kelainannya bersalaman dengan orang lain.

“Saya rasa hebatnya bila bersalaman dengan veteran, genggaman para veteran, cengkaman tangan mereka itu masih kuat dan saya tak pasti lutut anda semua masih kuat atau tidak tapi cengkaman masih kuat yang mana inilah kelainan semangat yang menyemarakkan lagi suasana hari ini untuk kita anggap sebagai sebuah himpunan yang sangat berjaya, meriah,” kata beliau sambil menerima tepukan gemuruh dari hadirin.

Beliau juga menegaskan sejak dahulu hingga sekarang kerajaan amat prihatin dan sentiasa memberikan perhatian serta menjaga nasib semua golongan masyarakat di negara ini tanpa mengira bangsa keturunan mahupun warna kulit apatah lagi dalam hal-hal kebajikan para veteran tentera yang selama ini telah banyak berkorban demi mempertahankan keamanan dan keselamatan negara.

PM turut mengumumkan enam insentif baharu kepada para Veteran ATM bagi menghargai peranan dan menjaga kebajikan serta menghargai sumbangan yang telah dicurahkan oleh mereka iaitu mengumumkan inisiatif Bantuan Bakti Negara (BBN) kepada Veteran ATM tidak berpencen yang merupakan bantuan tahunan untuk membantu mereka meningkatkan tahap sosio ekonomi dengan syarat penerima mestilah menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu RM 1200  setahun manakala yang bukan penerima BR1M akan menerima RM 600 dengan syarat sudah berumur 60 tahun ke atas.

Insentif kedua, Skim Anuiti Veteran (SAVe) tertakluk kepada anggota ATM yang sedang berkhidmat di mana inisiatif tersebut membolehkan anggota ATM tetap mendapat inisiatif walaupun anggota ATM berhasrat untuk berhenti awal dari perkhidmatan yang bertujuan untuk memberi pendapatan secara bulanan di mana hasilnya adalah daripada caruman kerajaan yang telah dilaburkan dan caruman tersebut akan sentiasa ada di dalam akaun simpanan serta memberi manfaat bulanan kepada mereka yang boleh diserahkan kepada waris  apabila veteran tersebut meninggal dunia.

Manakala insentif ketiga, Pencen Hilang Upaya Bagi Veteran ATM Yang Tidak Mendapat Pencen Perkhidmatan kepada Veteran ATM dan bekas anggota Wataniah sepenuh masa yang berkhidmat kurang daripada 10 tahun serta tidak menerima pencen perkhidmatan contohnya mereka terpaksa diberhentikan awal daripada perkhidmatan akibat mengalami kecederaan dan kecacatan kekal sewaktu menjalankan tugas yang mendapat kenaikan kadar pencen bermula antara 300 peratus hingga 800 peratus untuk pembayaran pencen melibatkan nilai minima dari RM 500 sehinggalah nilai maksimum berjumlah RM 2000.

Bagi insentif keempat adalah Insentif Veteran Kelainan Upaya Tabung Pahlawan Persatuan Veteran ATM bagi Veteran ATM yang mengalami kelainan upaya selepas bersara yang mana mereka akan menerima sejumlah RM 500 setahun melalui dana yang diperolehi hasil daripada kutipan Tabung Pahlawan walaubagaimanapun komitmen kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup, selain daripada kos perubatan yang mungkin ditanggung oleh golongan Veteran ATM yang akan ditambah  menggunakan peruntukan kerajaan menjadikan insentif ini kepada RM 1000.

Insentif kelima pula, Penambahan Kuota Haji Veteran ATM daripada 100 orang jemaah di tahun sebelumnya kepada 400 orang pada tahun ini dan insentif keenam merupakan Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2017 dimana kempen Tabung Pahlawan ini merupakan hasil kerjasama antara pihak kerajaan dan Persatuan Veteran ATM bagi mengumpul sumbangan daripada semua pihak agar dapat mengisi tabung kebajikan untuk mengenang jasa-jasa perajurit negara yang telah berkorban dalam mempertahankan tanah air.

Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2017 yang dinaungi oleh Datin Seri Rosmah Mansor melakar sejarah menerima sumbangan tertinggi untuk tahun ini apabila PM mengumumkan pihak kerajaan memberi sumbangan sebanyak RM 5 juta dan ditambah dengan jumlah keseluruhan penyumbang kempen Tabung Pahlawan 2017 berjumlah RM 1.85 juta hasil sumbangan dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM 1 juta, Wetstar Sdn.Bhd berjumlah RM 200 ribu, Affin Bank Berhad sebanyak RM 150 ribu, Boustead Plantations Berhad sebanyak RM 100 ribu, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd berjumlah RM 100 ribu, Boustead Heavy Industries Corporation Berhad sebanyak RM 100 ribu, Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM 100 ribu dan Pharmaniaga Berhad sebanyak RM 100 ribu berbanding kutipan tahun lepas sebanyak RM 4.65 juta.

Turut hadir,  Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Mohd Johari Baharom, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Seri Abd Rahim Radzi, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Pengerusi Persatuan Veteran ATM, Senator Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Hj Mohd Nor dan panglima-panglima perkhidmatan.

 

Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli, LKpl Ainur Aisyah Yahaya dan Saifun Hakimi Zainon.

 

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online