MELAKA: Dua Divisyen muncul Johan keseluruhan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Tentera Darat (TD) tahun 2017 dengan mengumpul markah 202 apabila diumumkan dalam Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat TD disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim di Dewan Serbaguna Terendak pada 8 Ogos 2017.
Majlis Tilawah Al-Quran tahun ini diadakan selama dua hari bermula 7 hingga 8 Ogos 2017 dengan bertemakan Kesatuan Asas Keteguhan TD dengan penglibatan seramai 21 peserta daripada tujuh formasi di bawah TD yang mana peserta di bahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Pegawai, Kategori Qari dan Kategori Qariah.
Acara dimulakan dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan Irhamnie diikuti pengumuman sembilan peserta Al-Quran yang mana Johan bagi Kategori Pegawai dimenangi oleh Kapt Mohd Faudzi Che Hashim dari Pemerintahan Latihan & Doktrin TD (PL & DTD) manakala Johan Kategori Qari Lain-Lain Pangkat (LLP) lelaki disandang oleh SSjn Muhammad Hasan Basri Ahmad dari 4 Div dan Johan Kategori Qariah Wanita dimenangi Hjh Noor Hayati Hj Hassan dari 2 Div.
Dalam ucapan PTD, beliau mengingatkan agar semua warga TD sentiasa menunjukkan bahawa TD adalah sebuah ketumbukan angkatan yang amat profesional, cekap dalam tugas serta berdedikasi tinggi agar lebih peka dan faham akan prosedur serta tindakan-tindakan untuk memastikan tidak ada kes-kes pencemaran keselamatan berlaku.
“Tidak dapat dinafikan bahawa warga tentera adalah golongan sasar kumpulan DAESH bagi mencapai cita-cita mereka dan saya ingatkan disini agar jangan sesekali terpengaruh dengan perjuangan mereka serta tersilap dan terpukau dengan panggilan jihad mereka.
“Jangan mudah terperangkap dan tertipu semata-mata mahu mencari jalan pintas untuk ke syurga sebaliknya, marilah sama-sama kita memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenarnya yang termaktub di dalam Al-Quran yang ditilawahkan pada hari ini,” tegas beliau.
Selain itu, beliau mahukan semua warga TD agar mengamalkan konsep Wasatiyyah yang merupakan tonggak kesatuan bersama bagi menjadikan TD terus releven sebagai ketumbukan yang dibanggakan dan diharapkan untuk menjaga kesucian agama demi mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.
Turut hadir TPTD, Lt Jen Dato’ Sri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohamad Nawawi, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, pegawai-pegawai kanan TD dan anggota LLP.
Gambar: PW II Sharil Mat Ali dan SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan