JOHOR: Tentera Darat (TD) kini memiliki kemudahan latihan Operations in Built-Up Areas (OBUA) yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara setelah dinaik taraf serta diberi nama baharu iaitu Zulkiple’s Urban Combat Village (ZUCov) bersempena nama PTD dalam usaha meningkatkan kemahiran pertempuran bandar yang dirasmikan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim semasa lawatan beliau ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) pada 30 Okt 2017.
PTD berkata, latihan operasi dalam kawasan terbina adalah penting dengan keadaan ancaman semasa yang merupakan satu fasiliti khusus untuk latihan perperangan dalam bandar yang mana latihan dalam bangunan berbeza berbanding latihan di medan tempur serta ia adalah kesiapsiagaan TD dalam menghadapi pertempuran di kawasan pembangunan kini semakin mantap menerusi fasiliti latihan OBUA.
“Teknik dan kemahiran dalam OBUA sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan medan tempur di hutan kerana ia membabitkan bangunan dan atas sebab itu, TDM perlu mempunyai lapang sasar atau kemudahan bagi menjalani latihan seperti ini dan selepas menyaksikan demonstrasi tadi, saya yakin ia mencapai objektif.
“Kemudahan latihan ini boleh menampung satu kompeni infantri dalam satu masa dan ia dibina dengan sepenuhnya bantuan kewangan Tentera Darat Australia selain akan diguna pakai bersama dengan TDA yang turut menjalani latihan di sini,” katanya semasa sidang akhbar.
Terdahulu, PTD menerima tabik hormat dari Kawalan Suku di Balai Pengawal PULADA lalu ketibaannya disambut oleh Komandan PULADA, Kol Hj Semaon Marjuki di perkarangan markas serta diperkenalkan kepada pegawai-pegawai dan dibawa ke Bilik Wawasan untuk mendengar taklimat lawatan.
Sebaik selesai taklimat PTD dibawa ke Lapang Sasar Selatan PULADA bagi melihat sendiri perkampungan OBUA yang dinaik taraf bagi menyediakan latihan pertempuran kawasan terbina serta dipertontonkan dengan demontrasi latihan OBUA.
Mengimbas sejarah OBUA di PULADA, penuntut yang menjalani Kursus OBUA sejak tahun 2000 hanya menjalani latihan di sebuah bangunan dua tingkat yang terdapat di OBUA Village dan atas idea yang dicetuskan oleh Komandan PULADA pada Nov 2016 satu kertas kerja dibuat di peringkat PULADA bagi merialisasikan idea tersebut.
Pegawai dari Tentera Darat Australia, Maj James Hodge telah membawa usul tersebut keperingkat atasannya dan mereka bersetuju untuk membiayai sepenuhnya projek menaik taraf OBUA Village yang sedia ada melalui Defence Cooperation Program (DCP) lalu dilaksanakan pada 16 Ogos 2017 dan siap sepenuhnya pada 27 Okt 2017 serta di beri nama ZUCov.
Turut hadir Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato’ Wira Tajri Alwi dan Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah.
Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan