[dropcap]I[/dropcap]su Salafi Wahabi dan Salafi Jihadi sememangnya banyak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat awam sehingga menimbulkan banyak polemik dan perbahasan yang tidak berkesudahan. Pemahaman terhadap isu Wahabi dan Salafi ini akan memudahkan kefahaman terhadap kontroversi jihad dan radikalisme yang dapat dilihat pada kumpulan-kumpulan pengganas kontemporari. Artikel ini akan membincangkan bagaimana ideologi atau doktrin Wahabi menjadi landasan seterusnya mendapat momentum bagi menggerakkan perjuangan menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah seperti yang diperjuangkan oleh kumpulan-kumpulan radikal seperti Darul Islam, Al Jama’ah Al Islamiyah dan Ad Dawla Al Islammiya Fii Iraq Wa-Ash Sham (Daesh) @ Islamic State in Iraq and Syria (ISIS).
Persoalan tauhid, akidah dan bagaimana doktrin Wahabi diinterpretasi akan dibahaskan bagi mengenal pasti bagaimana dan mengapa ia mendapat tempat di kalangan pengikut kumpulan-kumpulan ekstremis dan teroris kontemporari. Intipati artikel ini adalah untuk memperincikan bagaimana fahaman Wahabi yang kemudiannya bertukar jenama menjadi fahaman Salafi berjaya mendapat tempat dan menjadi latar belakang dalam gerakan- gerakan ekstremisme dan radikalisme. Artikel ini juga akan membincangkan mengapa fahaman Wahabi atau Salafi itu menjadi kontroversi seterusnya menjadi pemangkin kepada aktiviti-aktiviti keganasan yang dipaparkan oleh beberapa kumpulan radikal yang kita saksikan pada hari ini.
SEJARAH FAHAMAN ATAU ALIRAN WAHABI
Untuk memudahkan pemahaman terhadap matlamat perjuangan gerakan- gerakan seperti Al Jama’ah Al Islamiyah, Boko Haram, Kumpulan Abu Sayyaf (KAS), Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Hizbur Tahrir (HT), Darul Islam (DI), Al Arqam, Daesh @ ISIS dan beberapa kumpulan radikal yang lain, perbincangan tentang aliran dan fahaman Wahabi adalah perlu dijelaskan bagi memahami ideologi dan manhaj perjuangan mereka. Ini adalah kerana untuk memahami sejarah gerakan ekstremis dan radikal ini secara holistik, perlu difahami apakah ideologi dan akidah anutan pengikut jamaah ini terlebih dahulu. Justeru, perkara pokok atau tema utama yang perlu diselidiki adalah fahaman Wahabi atau disebut juga sebagai Muwahiddun (golongan yang mentauhidkan Allah/ tuhan yang satu) yang menjadi latar belakang kepada gerakan-gerakan ini. Kebanyakan orang awam memahami atau merujuk serta mengaitkan gerakan-gerakan ini dengan fahaman Salafi atau Salafiyah.
Walaupun Salafi dan Wahabi merupakan dua istilah yang berbeza tetapi sebenarnya kedua-dua istilah ini adalah merupakan fahaman atau ajaran yang sama. Penjelasan ini juga perlu dilakukan bagi menerangkan bagaimana pengikut gerakan radikal ini sebenarnya berselindung di sebalik akidah mereka dengan menyandarkan (menisbatkan) diri mereka dengan golongan Salafus Soleh. Sememangnya bagi masyarakat awam yang tidak memahami sejarah fahaman Wahabi akan terkeliru dengan naratif yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan sebegini sedangkan sebenarnya aliran fahaman Wahabi inilah yang telah menjurus umat Islam kepada fahaman beragama yang sempit, memecah-belahkan masyarakat dan menyuburkan radikalisme atas nama agama yang akhirnya mencemarkan imej agama dan imej umat Islam itu sendiri.
Di dalam sejarah gerakan Islam, gerakan fundamentalis mula mendapat momentum sekitar abad ke 20 dan dipelopori oleh tiga gerakan utama iaitu Salafi Wahabi dan Ikhwan Muslimin yang mewakili kelompok Sunni dan Revolusi Syiah yang merupakan representasi dari kelompok Syiah. Untuk tujuan kertas kerja ini, hanya gerakan Salafi Wahabi yang akan dibincangkan secara terperinci kerana ia menjadi fahaman yang kontroversi di alaf ini. Wahabi adalah merupakan sebahagian dari kumpulan orang Islam (Firqah) yang dibangunkan oleh Muhammad bin Abdul Wahab (1702-1787). Pihak yang menentang fahaman ini melabelkan gerakan ini sebagai Wahabi sementara pengikut fahaman ini menamakan diri mereka sebagai Muwahiddun. Sebenarnya wujud kekeliruan apabila melabelkan fahaman Muhamad bin Abdul Wahab ini dengan nama Wahabi kerana Abdul Wahab adalah nama bapa kepada pengasas fahaman ini dan beliau adalah seorang ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Justeru, menamakan fahaman ini dengan nama Wahabi adalah suatu yang tidak tepat kerana pengasasnya adalah Muhamad bin Abdul Wahab. Seperti mana yang tercatat dalam kamus Munjid halaman 568:
Wahabiyah adalah suatu bahagian dari firqah Islamiyah dibangunkan oleh Muhamad bin Abdul Wahab (1702M-1787M). Lawannya menamainya sebagai Wahabiyah tetapi pengikutnya menamakan diri mereka “Al Muwahiddun” dan tariqat mereka dinamainya “Al Muhammadiyah”. Dalam Fiqah mereka berpegang kepada mazhab Hanbali disesuaikan dengan tafsir Ibnu Taimiyah.
Namun begitu, apa yang tercatat dalam kamus Munjid ini tidak semuanya tepat kerana jika dikaji, ulama-ulama Wahabi sendiri tidak menyangkal dakwaan dan gelaran Wahabi ini, malah mereka menamakan kumpulan tersebut dengan nama Wahabi sebagaimana yang terdapat pada tajuk kitab mereka Al Hadiyyah Al Saniyyah Wa Tuhfah Wahhabiah Al Najdiah yang dicetak oleh percetakan Ummul Qura’, Mekah pada tahun 1344 Hijrah. Seorang ulama Mazhab Syafi’i di Mekah iaitu Sayyid Ahmad Zaini Dahlan yang meninggal dunia pada tahun 1304 Hijrah turut menulis sebuah buku yang menolak fahaman Wahabi ini dengan judul ‘Ad Duratus Saniyah Firraddi Alal Wahabiyah’ (Permata yang bertatah untuk menolak fahaman Wahabi) membuktikan bahawa nama Wahabi ini sudah wujud sejak sekian lama.
Fahaman Wahabi dianggap sebagai penerusan fahaman Ibnu Taimiyah, bahkan dalam banyak hal fahaman ini lebih radikal lagi daripada Ibnu Taimiyah. Ibnu Wahab sangat fanatik kepada Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah malah dalam sesetengah keadaan Ibnu Wahab bersikap lebih keras dari kedua-dua tokoh ini. Aliran Wahabi ini sangat dominan di Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Somalia, Algeria, Palestin dan Mauritania. Muhamad bin Abd Wahab sangat terpengaruh dengan fahaman dan aliran pemikiran Ibnu Taimiyah. Ibnu Taimiyah memang terkenal dengan fatwa- fatwa yang kontroversi sehingga ada pengikut mazhab Hanbali yang tidak bersetuju dengan beliau.
ADAKAH SALAFI DAN WAHABI FAHAMAN YANG SAMA?
Selanjutnya, artikel ini akan membincangkan bagaimana pula istilah Salafi dikaitkan dengan Wahabi. Adakah kedua istilah ini berbeza atau adakah pengikut Wahabi berselindung di sebalik istilah Salafi bagi mengembangkan fahaman mereka. Perkataan Salafi adalah kata nisbah bagi Al Salaf. Dari segi bahasanya, Al Salaf bermaksud orang-orang yang mendahului atau hidup sebelum zaman kita. Istilah Al Salaf secara mudah untuk difahami adalah merujuk kepada generasi awal Islam iaitu para sahabat Nabi S.A.W, para Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in dan para Imam yang mewarisi ilmu dan pendidikan dari generasi awal tersebut. Ini jelas diterangkan dalam sebuah hadis Rasullulah S.A.W:
Sebaik-baik manusia adalah (yang hidup) di masaku, kemudian mereka yang mengikuti mereka (Tabi’in), kemudian yang mengikuti mereka (Tabi’ At-Tabi’in)…(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Justeru, seseorang yang mengaku Salafi adalah seseorang yang mengikuti ajaran para sahabat Nabi S.A.W, Tabii’in dan Tabi’ At-Tabi’in. Di sini timbul satu persoalan yang amat mengelirukan iaitu adakah umat Islam lain yang mengikuti dan mengamalkan syariat dan ajaran Islam mengikut mazhab Imam yang empat tidak dikira Salafi. Sedangkan keempat-empat Imam ini adalah terdiri dari golongan Salaf yang hidup di dalam zaman atau generasi terbaik yang dimaksudkan dalam hadis tersebut. Malah Imam-Imam ini lebih dekat dengan Tabi’in dan Tabi’ At Tabi’in berbanding dengan Ibnu Taimiyah yang hidup 600 tahun selepas kewafatan Nabi S.A.W dan Muhamad bin Abdul Wahab yang lahir 1400 tahun selepas kewafatan Nabi S.A.W.
Sebahagian ulama kemudiannya menambahkan label Al Soleh (menjadi Al Salaf Al Soleh) untuk membezakan generasi terdahulu (As Salaf) dengan generasi sekarang (Al Khalaf). Justeru, seorang Salafi memberi makna seorang yang mengaku mengikuti jalan para sahabat Nabi S.A.W, para Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in serta para imam yang mewarisi ilmu dan pendidikan dari generasi awal tersebut dengan memahami sepenuhnya setiap ajaran yang ditinggalkan. Lanjutan dari perkataan ini maka timbul bentuk perkataan lain seperti Salafiyah (yang bermaksud ajaran atau fahaman kesalafan) atau Salafiyun/Salafiyin yang merupakan bentuk plural dari perkataan Salafi. Salafiyah juga boleh diertikan dengan khazanah ilmu yang bersumberkan dari pemahaman secara mendalam tentang ajaran Salafus al Soleh.
Salafiyah juga bermaksud membawa semangat untuk kembali kepada yang asal kerana yang asal itu lebih murni, dekat dan sesuai dengan kehendak Al Quran dan As Sunnah. Di sinilah konsep Salafiyah bertemu dengan konsep Tajdid (pembaharuan). Seorang Mujaddid adalah seorang yang berhasil mengingatkan dan mengembalikan umat Islam daripada jauh terpesong daripada jalan yang benar. Namun, ia hanya dianggap Mujaddid sekiranya apa yang dilakukan itu benar- benar Tajdid dan untuk memastikan ini berlaku seseorang itu mestilah memiliki keilmuan yang cukup tinggi, kefahaman yang benar dan ketaqwaan yang jitu hingga tidak tersasar dari landasan sebenar. Golongan Salafi ini sebenarnya bercita-cita untuk mengembalikan umat Islam kepada ajaran asal yang difahami oleh Al Salaf Al Soleh.
Berdasarkan dari definisi yang telah dibincangkan di atas, sebenarnya tidak ada masalah bagi sesiapa sahaja yang mengaku diri mereka Salafi kerana setiap umat Islam mengakui tentang kedudukan Nabi S.A.W dan dua generasi terbaik selepas Nabi S.A.W kerana sedikit sebanyak setiap umat Islam yang bermazhabkan Imam yang empat mempunyai sifat kesalafian di dalam diri mereka walaupun ia tidak dicanangkan secara terbuka. Masalah yang timbul lewat abad ke 20 ialah ada sekelompok umat Islam yang mencanangkan bahawa mereka adalah golongan Salafi dan pengikut Manhaj salaf lalu menuduh kelompok umat Islam yang lain tidak mengikut Manhaj Salaf. Berdasarkan pengkajian, kelompok yang mengaku Salafi ini sebenarnya adalah juga dikenali sebagai Wahabi. Justeru, tidak ada perbezaan di antara Salafi dan Wahabi. Fahaman ini dikenali sebagai Wahhabiyah Hanbaliyah di Jazirah Arab dan apabila fahaman ini dieksport ke luar dari tanah Arab ia bertukar nama menjadi Salafi.
Prof Dr Sa’id Ramadhan al Buthi dalam bukunya, as Salafiyah Marhalah Zamaniyah Mubarakah La Madzhab Islamiy telah membongkar penyamaran Salafi Wahabi ini dengan mengatakan bahawa Wahabi telah bertukar menjadi Salafi atau kadangkala menjadi Ahlussunnah tanpa diikuti dengan istilah Wal Jamaah kerana golongan ini merasa tidak selesa apabila dilabelkan sebagai Wahabi. Istilah Salafi ini dipercayai diperkenalkan oleh seorang ulama Wahabi iaitu Syeikh Nashiruddin Al Abani bagi menyegarkan atau memberi nafas baru kepada fahaman ini agar ia dilihat lebih menarik dan mendapat sambutan. Setelah penjenamaan semula istilah Wahabi kepada Salafi ini maka gerakan dakwah Wahabi mula mendapat sambutan kerana gagasan yang mereka bawa adalah mengajak umat Islam kembali kepada pemahaman Salaf.
Golongan Wahabi ini menukar nama kepada Salafi kerana jika fahaman ini dinisbatkan kepada Wahabi atau pengasasnya Muhamad bin Abdul Wahab maka gerakan dakwah mereka untuk memurnikan Islam akan menemui kegagalan untuk menarik pengikut atau menyebarkan fahaman ini di luar tanah Arab disebabkan gerakan Wahabi telah banyak menimbulkan kontroversi malah melibatkan pertumpahan darah di Tanah Arab sendiri sebagai contohnya ‘Peristiwa Mekah Berdarah’ pada tahun 1979. Peristiwa ini adalah merupakan pemberontakan bersenjata ke atas pemerintah Arab Saudi yang dilihat telah menyimpang dari ajaran Salafi dan ia dipimpin oleh Juhaiman Al Utaibah (bekas pengikut Jama’ah Salafyyiah Al Muhtasibah) dan 300 orang pengikut yang telah mencederakan umat Islam yang sedang mengerjakan haji.
PERSOALAN SALAFI WAHABI DAN SALAFI JIHADI
Seperkara lagi yang menjadi perbahasan di kalangan ulama dan cendekiawan ialah istilah Salafi Jihadi yang menjadi pegangan atau doktrin kumpulan- kumpulan seperti Al Jama‟ah Al Islamiyah serta Daesh @ ISIS. Persoalan Salafi Wahabi dan Salafi Jihadi adalah merupakan satu isu yang mengelirukan kerana perbezaan istilah dan dalam konteks mana ia diguna pakai. Perbahasan tentang istilah ini selalunya menjurus kepada kekeliruan dalam konteks manakah kumpulan-kumpulan radikal seperti Daesh @ ISIS itu sepatutnya dikategorikan. Menurut pengikut-pengikut Daesh @ ISIS mereka mengakui bahawa mereka berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Mereka kononnya memahami Islam secara menyeluruh (Kaffah) dengan mengikuti pemahaman para As Solafus Soleh.
Namun begitu, beberapa persoalan timbul apabila mereka mengatakan bahawa mereka hanya bertaklid kepada ulama-ulama Salaf. Istilah ‘Salaf’ itu sebenarnya tidak merujuk kepada ‘kelompok yang mempunyai keyakinan yang sama’ atau merujuk kepada ‘sesuatu mazhab dalam Islam’ tambahan pula tidak terdapat satu hadis atau dalil yang meriwayatkan bahawa ada di antara sahabat-sahabat Nabi S.A.W, Imam-Imam Mujtahid dan para ahli hadis yang menggelarkan diri dan pengikut mereka sebagai golongan ‘Salafi’. Apabila membahaskan tentang istilah Salafi Wahabi atau Salafi Jihadi ia perlu dilihat dari konteks sejarah tentang kelahiran fahaman tersebut serta tokoh-tokoh yang terlibat dibelakangnya. Justeru, kesimpulan di antara kedua-dua istilah tersebut adakah ia mempunyai persamaan ataupun berbeza sama sekali.
Pemikiran Salafi adalah merupakan landasan berbagai gerakan Islam sejak beberapa dekad ini. Semangat Tajdid adalah sebab terbentuknya pelbagai gerakan Islam tersebut dan kemunculan gerakan Salafiyun mencerminkan corak Salafi dalam arus Tajdid tersebut. Namun begitu, dari gerakan Salafiyun ini muncul golongan yang dipanggil kelompok ekstrem Salafi Yamani. Di antara ciri-ciri Salafi Yamani ialah suka membida’ahkan, mencari kesalahan orang lain lalu menyebarkannya, menyesatkan kelompok lain dan memberi label-label tertentu kepada golongan yang berbeza dari mereka. Pengikut Salafi Yamani tidak mengambil bahagian dalam proses mendakwahkan dan berkomunikasi dalam masyarakat kerana mereka menganggap kerjasama sebegini adalah satu Bida’ah. Apa yang paling ketara ialah kelompok ini bersikap jauh lebih keras sesama Islam berbanding dengan orang kafir. Justifikasi mereka, orang Islam yang murtad adalah lebih bahaya dan layak diperangi kerana mereka pada asalnya adalah orang Islam yang mengetahui tentang hukum Islam berbanding dengan orang bukan Islam (Kafir Harbi) yang ternyata tidak mengetahui tentang ajaran Islam.
Selain gerakan ekstrem Salafi Yamani, Salafiyun juga menjadi latar belakang kepada kebangkitan Salafi Jihadi. Salafi Jihadi adalah istilah yang diberikan kepada kalangan umat Islam yang beraliran pemikiran seperti Salafiyun (iaitu kembali kepada Al-Quran dan sunnah, memurnikan akidah serta menolak Bida’ah) dan golongan ini mempunyai matlamat dakwah untuk menegakkan Daulah Islam dengan menggunakan kaedah Jihad Qital (perang) serta tidak ragu-ragu mengkafirkan pemerintah Islam yang tidak menegakkan hukum syariah di dalam sesebuah negara. Salah satu gerakan Islam di Indonesia yang menggelar diri mereka Salafi atau Salafiyah adalah Lasykar Jihad yang dipelopori oleh Ja’far Umar Thalib pada 6 April 2000 selepas meletusnya konflik agama di Ambon dan Poso. Menurut Azyumardi Azra, seorang pengkaji gerakan Islam di Indonesia, gerakan Lasykar Jihad ini dikategorikan sebagai golongan Salafi Radikal. Istilah Salafi Radikal ini digunakan oleh Azra untuk menerangkan golongan yang melakukan tindakan kekerasan dan terorisme bersandarkan konsep dan ideologi tersebut. Sekembalinya Ja’afar Umar Talib ke Indonesia, beliau telah mengembangkan perjuangan dakwahnya berkonsepkan dakwah Salafiyyah.
Konsep Salafiyah ini sebenarnya membawa pengertian satu aliran yang berkehendakkan Ahlul As Salaf sebagai ikutan dan panduan umat Islam namun begitu konsep ini didapati telah terpesong daripada landasan yang sebenar. Ia telah menjadi satu aliran pemikiran atau mazhab khusus bagi golongan tertentu yang mendakwa mereka menjadi pengikut ulama tertentu seperti Ibnu Taymiyyah dan menolak ulama lain yang dianggap telah menyimpang dari kebenaran. Walaupun perkataan Salaf kelihatan sinonim dengan kelompok Salafi namun sebenarnya ia bukan hak ekslusif dan menjadi ciri-ciri khas golongan tersebut. Menurut Ramadhan al-Buthi juga, Salafiyah sebenarnya bukan suatu mazhab pemikiran melainkan suatu zaman yang berkah. Adalah menjadi bida’ah menjadikan Salafiyah suatu aliran yang tertentu dan membezakannya dengan aliran ahli Sunnah wal Jama`ah.
Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, persoalan Salafi Wahabi ini sebenarnya amat kompleks dan garis pemisahnya hampir sukar untuk dikenalpasti. Justeru, kefahaman yang mendalam tentang definisi Wahabi, Salafi, Salafus Soleh, Salafiyun, Salafiyamani dan Salafi Harakiamat penting untuk menentukan garis pemisah di antara kelompok-kelompok dalam aliran yang mengaku berfahaman Salafi ini. Ini adalah untuk mengelakkan umat Islam terjerumus di dalam keraguan dan melabelkan sesuatu golongan sebagai sesat dan sebagainya. Dalam artikel ini, istilah Salafi Wahabi akan digunakan bagi menjelaskan bahawa kedua-duanya adalah fahaman yang sama. Artikel ini seterusnya akan membincangkan satu lagi cabang yang terakhir di dalam fahaman Salafi iaitu apa yang dipanggil Salafi Takfiri. Perkataan Takfiri diambil dari kata Takfir yang bermaksud mengkafirkan.
DARI MANA MUNCULNYA GOLONGAN SALAFI TAKFIRI?
Golongan Takfiri adalah satu lagi kelompok serpihan dari Salafi Wahabi yang muncul di era 1970an. Jika dikaji aliran Takfiri kontemporari dengan pelbagai alirannya Sanad keilmuan mereka tidaklah sampai kepada para ulama salaf namun hanya berakhir pada Jamaah Takfir Wal Hijrah, Jamaah Jihad Dan Al Jamaat Al Islamiyya yang muncul pada tahun 60-an dan 70-an di Mesir. Aliran takfiri ini tumbuh berkembang dari gagasan Sayyid Qutb. Sayyid Qutb pada awalnya terdidik oleh ajaran Ikhwan Muslimin yang didirikan oleh Hasan al Banna pada tahun 1928 namun pada akhirnya Qutb memisahkan diri secara pemikiran dari ideologi Ikhwanul Muslimin.
Tokoh-tokoh Takfiri ini adalah Ayman al Zhawahiri dan Abu Muhammad al Maqdisi yang terlibat dengan generasi awal Jamaah Jihad pada tahun 1966 setelah Sayyid Qutb dihukum bunuh. Abu Muhammad al Maqdisi adalah tokoh yang menubuhkan Bay‟at Al Imam bersama-sama dengan Abu Musab Al Zarqawy semasa mereka berdua di penjara di Swaqa, Jordan. Bay’at Al Imam inilah yang menjadi Daesh@ISIS pada hari ini. Maka tidak dapat disangkal lagi apabila kebanyakan literatur menyatakan bahawa elemen radikalisme dan keganasan kontemporari adalah berpunca dari gabungan fahaman Wahabi dengan aliran radikal Sayyid Qutb dan dipelopori oleh Ayman al Zhawahiri semasa di Afghanistan yang merupakan tokoh besar Al Qaeda bersama Osama bin Laden.
Di antara fahaman-fahaman yang dipraktikkan oleh golongan Salafi Takfiri ini ialah memberikan hak eksklusif kepada mereka untuk mengkafirkan orang Islam yang tidak dalam golongan mereka di atas jenayah dan praktik beragama yang bertentangan dengan praktik mereka. Mereka juga menolak sepenuhnya kuasa politik ke atas pemerintah yang sah. Golongan Takfiri menyatakan bahawa idea dan gagasan politik selain daripada gagasan Islam mereka adalah tidak sah malah mereka melabel pemimpin-pemimpin tersebut sebagai orang yang merampas kuasa lalu mereka layak atau menjadi kewajipan untuk membunuh dan merampas kuasa dari mereka. Di sini terdapat sedikit perselisihan pemahaman di mana golongan Salafi Wahabi berkeyakinan bahawa menjadikan hukum manusia sebagai aturan mengikat masyarakat adalah perbuatan haram yang menyebabkan pelakunya terjerumus dalam kekafiran kecil tetapi tidak sampai mengeluarkan pelakunya dari agama Islam kecuali jika diiringi dengan keyakinan bahawa pemerintah itu mengakui bahawa memang boleh atau lebih baik menggunakan hukum manusia yang bertentangan dengan hukum Allah. Ketentuan ini berlaku untuk pemerintah dan rakyat jelata sedangkan golongan takfiri berkeyakinan bahawa menggunakan hukum manusia itu menyebabkan jatuh kafirnya kepada pemerintah dan keluarnya mereka dari agama Islam. Apa yang peliknya, hukum kafir hanya mereka tujukan kepada pemerintah tetapi tidak kepada rakyat biasa.
Golongan Salafi Takfiri juga mempunyai interpretasi yang berlainan berhubung dengan soal jihad. Perkara jihad ini tidak dibincangkan secara terperinci di dalam artikel ini kerana ia memerlukan penerangan yang sangat panjang. Golongan ini juga mengeluarkan fatwa dan memberikan interpretasi sendiri tentang konsep bunuh diri (pengebom berani mati) dan Irhabiyah – keganasan. Interpretasi ini bersandarkan dari ayat Al Quran:
Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggerunkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang yang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya. (Al Anfal [8]:60)
Pendapat dan tafsiran ini dikeluarkan oleh Syeik Abdullah Azzam semasa di Afghanistan dengan justifikasi bahawa ayat Turhibunabihi (Surah Al Anfal [8]: 60 – “yang dengan persiapan itu, kamu menggerunkan...”) adalah perintah untuk melakukan kekerasan ke atas musuh-musuh Islam. Jika dilihat konsep ‘terjemahkan’ sahaja yang dipraktikkan oleh golongan Salafi Wahabi ini maka adalah sesuatu yang tidak menghairankan bahawa golongan ini akan membuat tafsiran ayat-ayat secara literal/harfiah asalkan ia menjustifikasikan matlamat dan kaedah perjuangan mereka. Sepertimana yang dinyatakan oleh laporan ICG, “The Salafy community views itself first and foremost in religious, rather than political, terms and eschews both politics and violence because they divert attention from the study of faith and propagation of Salafy principles”.
Kumpulan-kumpulan radikal seperti Al Jama’ah Al Islamiyah dan Daesh @ ISIS sering menjustifikasikan kewujudan mereka adalah berasaskan kehendak agama semata-mata dan dengan menggunakan platform agama mereka menggabungkan aliran fundamentalis Salafi di antara pemikiran radikal Sayyid Qutb dan aliran jihadi Abdullah Azzam. Bagi golongan ini, dakwah semata-mata adalah tidak memadai. Justeru, kekerasan perlu digunakan untuk menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah. Melalui fahaman dan aliran pemikiran inilah maka terjadinya fenomena keganasan yang diterjemahkan oleh pengikut Al Jama’ah Al Islamiyah, Boko Haram, KAS, Al Qaeda, Jama’ah Jihad, Jama’ah Takfir Wal Jihad, Darul Islam dan Daesh @ ISIS.
PENYIMPANGAN WAHABI DALAM MENGINTERPRETASI AGAMA
Berdasarkan dari definisi Salaf dan Salafiyah yang telah dibincangkan di awal artikel ini, sebenarnya tidak timbul sebarang masalah jika seseorang atau sesuatu kelompok menggelarkan diri mereka sebagai golongan atau pengikut Salafi. Ini adalah kerana setiap umat Islam mengakui kedudukan dan keistimewaan para sahabat Nabi S.A.W serta dua generasi terbaik selepas itu (Tabi’in dan Tabi’ At Tabi’in). Tiga golongan ini hidup dalam tempoh masanya adalah kira-kira 300 tahun. Walau bagaimanapun, imej dan istilah Salafi ini sudah mula menyimpang sekitar abad ke 18 dan ke 19 dan dipelopori oleh tokoh seperti Muhamad bin Abd Wahab (pengasas fahaman Wahabi di Tanah Arab) dan dikembangkan kemudiannya oleh tokoh dan ulama seperti Syeikh Abdullah bin Baz, Syeikh Nashiruddin Al Albani, Ibnu Utsaimin, Syeikh Salih Fauzan Al Fauzan dan akhir sekali oleh Abdullah Azzam sekitar tahun 1980an – 1990an semasa perang melawan Soviet di Afghanistan. Terdapat sebahagian kelompok tertentu yang menyatakan bahawa hanya mereka sahaja yang merupakan kelompok Salaf manakala kelompok yang lain dianggap tidak mengikuti Salaf.
Usaha Al Albani di dalam menjenamakan semula dakwah Wahabi dengan istilah baru iaitu Salafi telah membuahkan hasil bukan sahaja di dunia Arab malah fahaman ini mula dikembangkan di luar tanah Arab serta mendapat sambutan. Salah satu usaha dakwah mereka ialah mengajak dan menyeru umat Islam kembali kepada pemahaman Salaf. Jika diamati dengan teliti, di sebalik seruan untuk kembali kepada pemahaman Salaf ini mereka melarang umat Islam dari mengikuti pemahaman Salaf yang dipelopori oleh Imam yang keempat iaitu Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafie dan Imam Ahmad sedangkan kesemua ulama ini hidup di dalam tempoh tiga abad terbaik sepertimana yang dimaksudkan dengan golongan Salaf. Mereka menggalakkan umat Islam mengikuti atau bertaklid kepada pemahaman orang-orang yang hidup selepas tiga abad terbaik (300 tahun selepas kewafatan Nabi S.A.W) iaitu pemahaman Ibnu Taimiyah, muridnya Ibnu Qayyim al Jauziyah dan Muhamad bin Abd Wahab.
Justeru, pada hakikatnya, mereka ini bukanlah golongan Salafi atau pengikut Salaf, tetapi adalah pengikut Salafi Wahabi iaitu pengikut Muhamad bin AbdWahab. Muhamad bin Abd Wahab memang diakui seorang yang sangat mengagumi Ibnu Taimiyah iaitu seorang ulama kontroversi yang hidup pada abad ke 8 Hijriah dan tokoh pemikir Islam ini dilihat sangat mempengaruhi pemikiran Muhamad bin Abd Wahab. Pada abad ke 18, fatwa-fatwa jihad Ibnu Taimiyah ini dihidupkan semula oleh golongan Salafi moden yang menggelarkan diri mereka Salafi Jihadi. Muhamad bin Abd Wahab telah mengeluarkan fatwa bahawa syirik dalam beribadah kepada Allah S.W.T akan membatalkan keislaman seseorang. Ia juga mengatakan bahawa jika tidak mengkafirkan orang-orang musyrik ia akan mengeluarkan seseorang dari keislamannya. Orang yang mengucap dua Kalimah Syahadah tetapi tidak mengkafirkan orang musyrik maka ia juga kafir dan harus diperangi.
Pada abad ke 20 ini, fahaman ini diperbaharui lagi oleh tokoh-tokoh Salafi seperti Abdullah bin Baz (1909-1999) dan Nashiruddin Al Albani (1914-1999). Pada tahun 1984, semasa era perang Afghanistan, Abdullah Azzam (seorang anak murid yang belajar fahaman Salafi secara terus dari Abdullah bin Baz) dan juga seorang tokoh Ikhwan Muslimin di Mesir telah mendedikasikan dirinya dengan jihad di Afghanistan. Beliau telah mengeluarkan buku Ad Difa’ AnAradli Al Muslimin Furudl Al’ A’yan – The Defence of Muslim Lands yang menyatakan bahwa jihad di Afghanistan adalah hukumnya Fardhu Ain bagi setiap umat Islam di dunia malah meninggalkan jihad di Afghanistan adalah bersamaan dengan meninggalkan solat dan puasa. Pandangan ini berbeza dengan pandangan gurunya yang mengatakan bahwa jihad itu hukumnya Fardhu Ain bagi umat Islam di Afghanistan dan Fardhu Kifayah bagi umat Islam di luar wilayah Afghanistan. Abdullah Azzam adalah tokoh yang telah mempopularkan ajaran-ajaran baru dalam fahaman Salafi Wahabi ini yang kemudiannya dikenali sebagai As Salafy Al Jihadi atau Salafi Jihadi yang menjadi fahaman dan anutan pengikut Al Jama’ah Al Islamiyah dan kini menjadi anutan pengikut Daesh @ ISIS. Azzam mengertikan jihad Fisabilillah sebagai Qital Fisabilillah (perang di jalan Allah). Ia menolak pengertian Lughowi (bahasa) menurut empat mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan Syafie. Jihad adalah merupakan istilah Syar’i sebagaimana solat, puasa, zakat dan haji. Menurutnya, semua istilah itu mempunyai pengertian yang diatur oleh syariah sehingga tidak boleh dipermainkan pengertian Syar’i tersebut. Jihad adalah berperang di jalan Allah dan tiada makna lain bagi jihad melainkan berperang. Beliau juga menolak hadis yang mengatakan perang adalah jihad kecil kerana mengatakan hadis itu adalah hadis Mau’du (palsu) dan tidak boleh dijadikan rujukan Syar’i.
PERSOALAN TAUHID DAN AKIDAH
Perkara pokok yang mesti difahami tentang fahaman Salafi Wahabi ini ialah berkenaan soal akidah iatu pemahaman tentang perkara tauhid yang menyentuh tentang keislaman seseorang. Bertitik tolak dari kefahaman tentang soal tauhid inilah yang akhirnya menyebabkan golongan Salafi Wahabi ini menjatuhkan hukum Takfir kepada golongan lain serta menjatuhkan hukuman sesat dan Bida’ah kepada umat Islam yang lain. Artikel ini ingin menekankan bahawa pengetahuan tentang aspek tauhid ini amat penting untuk memahami mengapa pengikut kumpulan- kumpulan radikal seperti Daesh @ ISIS ini menterjemahkan perjuangan mereka untuk mendirikan sebuah Daulah Islamiyah seterusnya sebuah Khilafah. Berlanjutan dari doktrin tauhid dan permasalahan Takfir inilah yang akan menjustifikasikan tindakan mereka untuk menentang pemerintah dalam sesebuah negara di samping menghalalkan tindakan-tindakan yang tidak sehaluan dengan umat Islam arus perdana. Di dalam soal tauhid, Ibnu Taimiyah telah membuat pembahagian Tauhid kepada empat cabang iaitu Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyah, Tauhid Ibadah dan Tauhid Sifat-Sifat (Asma Was Sifat). Ibnu Taimiyah berpendapat bahawa Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan. Pengakuan Tauhid Uluhiyah adalah pengakuan Tauhid Rububiyah manakala menafikan Tauhid Rububiyah adalah menafikan Tauhid Uluhiyah, kerana tujuan utama ialah Tauhid Uluhiyah.
Muhamad bin Abdul Wahab pula mengembangkan lagi fahaman mengenai Tauhid yang diperolehi dari Ibnu Taimiyah ini mengikut kefahaman beliau dan cuba menghubungkaitkan dengan realiti sosiopolitik masyarakat di mana beliau berdakwah. Pemahaman tauhid oleh Muhamad bin Abdul Wahab ini perlu difahami dengan jelas kerana hasil dari pemahaman Tauhid inilah yang akan dan telah mencetuskan isu Takfir (mengkafirkan umat Islam yang tidak mengikut aliran Salafi Wahabi). Ibnu Wahab telah mengambil mazhabnya mengenai pemurnian tauhid daripada Ibu Taimiyah, kemudian beliau membataskan tauhid kepada dua dimensi sahaja iaitu dimensi yang pertama ialah Tauhid Rububiyah yang mana ia adalah tauhid yang diakui oleh puak musyrikin di zaman Rasulullah S.A.W. Jenis tauhid ini tidak memasukkan puak musyrikin ke dalam kitaran keimanan. Walaupun golongan musyrikin tersebut sebenarnya mengakui yang Allah S.W.T itu yang mencipta dan mengatur tetapi dengan tauhid mereka itu walaupun ia satu kebenaran yang mesti diterima tetapi ia tidak memasukkan seseorang ke dalam Islam kerana kebanyakan orang mengakui jenis tauhid ini. Perkara inilah yang disamakan dengan golongan umat Islam yang tidak mengikuti aliran pemahaman tauhid golongan Salafi Wahabi.
Dimensi yang kedua adalah berkenaan Tauhid Uluhiyah di mana Ibnu Wahab mentakrifkan jenis tauhid ini dengan berbagai takrif yang berlainan ungkapan tetapi membawa makna yang sama. Kadang kala jenis tauhid ini disebut oleh Ibnu Taimiyah sebagai Tauhid Uluhiyah dan dalam keadaan tertentu pula disebut sebagai Tauhid Ibadah. Beliau telah berusaha keras untuk membezakan secara putus di antara tauhid ini dengan jenis yang terdahulu iaitu Tauhid Rububiyah namun beberapa pengikutnya serta orang lain masih terkeliru tentang kedua-kedua jenis tauhid ini. Sehinggakan sesetengah mereka terpaksa meninggalkan konsep Tauhid Rububiyah dan hanya berpegang dengan Tauhid Uluhiyah.
Seperti mana yang telah ditekankan sebelum ini persoalan akidah yang berkisar kepada soal tauhid ini amat penting bagi memahami akidah dan ideologi pengikut kumpulan radikal seperti Daesh @ ISIS. Tiga perkara di dalam ajaran Islam yang tidak boleh dipisahkan ialah tauhid (iman), fiqah (syariat Islam) dan tasawuf (ihsan) yang mana ketiga-tiga perkara ini adalah merupakan asas fundamental sebagai kesempurnaan dalam beragama. Tanpa kehadiran ketiga-tiga perkara ini maka keislaman seseorang itu tidak akan menjadi sempurna. Perkara tauhid adalah bersangkutan dengan hal-hal keimanan seseorang. Ia sangat penting di dalam proses untuk merekrut pengikut ke dalam Jama‟ah dan pembinaan tauhid adalah merupakan kunci kepada kemenangan sesebuah gerakan Islam. Perjuangan untuk menegakkan negara Islam atau melaksanakan syariat Islam bukanlah merupakan faktor penarik untuk merekrut pengikut melainkan mereka telah ditanam dengan akidah yang betul lalu sedia berkorban demi perjuangan yang disertai. Nabi Muhammad S.A.W sendiri berjuang selama 13 tahun di Mekah untuk membetulkan tauhid dan akidah umat Islam. Apabila Nabi berhijrah ke Madinah, proses dakwah menjadi mudah dan umat Islam bersedia untuk menerimanya kerana perkara pokok mengenai tauhid telah dibetulkan. Di samping itu, tauhid juga menyebabkan para sahabat sanggup berjuang dan berkorban demi untuk membela agama.
Perkara ini amat disedari oleh Kartosuwiryo ketika beliau memimpin gerakan Darul Islam (DI) di Indonesia dan doktrin mengenai tauhid ini disusun oleh ajutan beliau iaitu Aceng Kurnia. Aceng Kurnia amat mengetahui bahawa aspek kerohanian yang melibatkan perkara-perkara tauhid amat perlu bagi merekrut pengikut DI. Di era DI, Aceng Kurnia telah menyusun satu doktrin tauhid yang dipanggil Tauhid Rububiyah, Mulkkiyah danUluhiyah (dikenali juga sebagai Tauhid RMU). Apa yang menarik di sini ialah Aceng Kurnia telah memperkenalkan satu lagi cabang Tauhid iaitu Tauhid Mulkiyah. Aceng Kurnia dilihat lebih terpengaruh dengan buku-buku karangan Sayyid Qutb dan al Maududi. Dua buah buku karangan al Maududi yang telah mengubah pemikiran
Aceng Kurnia ialah Teori Politik Islam dan Empat Istilah Dalam Al Quran. Buku ini sangat mempengaruhi beliau kerana beliau menemui bahawa Allah S.W.T di dalam Al Quran disebut antaranya dengan kata Illah dan Rabb.Menurut Al Maududi, kedua-dua perkataan ini adalah Hakimiyah Tuhan atau kekuasaan Tuhan. Sepertimana konsep tauhid yang dikembangkan oleh Ibnu Wahab, doktrin Tauhid yang diperkenalkan oleh Aceng Kurnia inilah akhirnya yang menjurus kepada sikap Takfir oleh pengikut DI ke atas umat Islam di luar jamaah mereka. Persamaan ini amat jelas dengan pengikut Daesh @ ISIS kerana perkara pokok yang menentukan keislaman sesorang adalah soal tauhid iaitu mengesakan Allah S.W.T dan berdasarkan hujah tauhid ini mereka bukan sahaja boleh mengkafirkan sesiapa di luar jama’ah malah darah golongan ini halal untuk diperangi.
Akhir sekali di bawah tajuk dan persoalan akidah serta tauhid, artikel ini turut membincangkan tentang doktrin Tauhid Hakimiyah dan menerangkan bagaimana ia menjadi doktrin utama fahaman Salafi Jihadi yang meresap ke dalam gerakan seperti Daesh @ ISIS ini. Ajaran Tauhid Hakimiyah ini sudah lama hidup di Mesir sekitar tahun 1960 an dan dipelopori oleh Sayyid Qutb melalui bukunya Ma’alim fil Thariq (Petunjuk Jalan/Milestone). Walau bagaimanapun, bukan gagasan Sayyid Qutb tentang Tauhid Hakimiyah dan jihad ini yang dibawa ke Aghanistan tetapi ia adalah ajaran Tauhid Hakimiyah dan jihad versi Salafi yang disusun oleh Muhamad Abdussalam Faraj (1952-1982) melalui bukunya Al-farida al-gha’ba (Kewajipan Yang Hilang) pada tahun 1980.
Fahaman ini dibawa masuk ke Afghanistan oleh aktivis dari Jamaah Jihad dan al Jamaat al Islamiyya dari Mesir. Abdullah Azzam hanya membahaskan persoalan Tauhid Hakimiyah sepintas lalu di dalam bukunya ‘Di bawah Naungan Surah At Taubah’. Tauhid Hakimiyah adalah pandangan bahawa kedaulatan politik sepenuhnya adalah milik Allah S.W.T. Hujah yang digunakan adalah, kedaulatan Allah ini sepatutnya dibuktikan dalam bentuk penerapan hukum-hukum Allah dalam mengatur kehidupan sosial dan masyarakat. Oleh kerana Allah sebagai Pencipta maka Dialah yang paling tahu syariat bagi ciptaaanNya dan Dialah yang paling berhak membuat syari’at bagi ciptaannya. Justeru, sesiapa yang membuat undang-undang yang bertentangan dengan syari’at Islam bererti telah merampas hak tasyri’ Allah bagi ciptaanNya dan dalam erti kata yang lain mereka adalah golongan musyrik.
Sebenarnya, cabang Tauhid Uluhiyah ini hanyalah ajaran yang diperkenalkan oleh Ibnu Taimiyah dan kemudiannya dikembangkan oleh tokoh-tokoh Wahabi di kemudian harinya. Penambahan kepada cabang tauhid ini adalah merupakan penambahan atau ajaran baru yang diperkenalkan oleh Ibnu Taimiyah. Begitu juga dengan cabang Tauhid Mulkiyah yang diperkenalkan kepada pengikut DI/NII oleh Aceng Kurnia serta cabang Tauhid Hakimiyah yang diperkenalkan kepada golongan pengikut DI di Afghanistan sebenarnya sudah termasuk di dalam Tauhid Rubbubiyah. Justeru, ia adalah salah satu manipulasi atau penambahan kepada istilah yang sedia ada sedangkan ia mempunyai maksud yang sama. Menurut Tibi Bassam, seorang pengkaji gerakan Islam, konsep Negara Islam dan Tauhid Hakimiyah ini hanyalah penemuan baru yang dimasukkan ke dalam pemikiran Islam kontemporari. Kedua-duanya dengan jelas menunjukkan ciri-ciri fundamentalis.
Seruan ke arah Din Wa’ Ad Daulah (penyatuan agama dan negara) yang menjadi gagasan dan slogan kumpulan-kumpulan fundamentalis di merata dunia sebenarnya adalah ciptaan dari teks dan tradisi di zaman kegemilangan Islam sebelum ini. Gagasan atau seruan ini tidak ada tercatat dalam Al Quran mahupun teks-teks hadis atau sumber-sumber sejarah yang berautoriti. Pengenalan kepada istilah-istilah baru ini sebenarnya adalah untuk menjustifikasikan tindakan-tindakan mereka di dalam memerangi musuh-musuh Islam malah untuk menjustifikasikan tindakan Takfir mereka terhadap segolongan umat Islam yang lain. Menurut Dr Ali Syu’aibi pula, mendefinisikan akidah Islamiyah berdasarkan kriteria Tauhid Hakimiyah adalah satu kesilapan. Istilah itu adalah ciptaan manusia dan tidak pernah disebut dalam Al Quran mahupun hadis. Artikel ini melihat bahawa tafsiran dan pengenalan istilah-istilah tauhid yang baru ini lebih kepada untuk menghalalkan tindakan pengikut kumpulan radikal dalam konteks Jihad Qital, Irhabiyah, Fai’ dan Takfir. Generasi dalam Al Jamaah Al Islamiyah seperti Imam Samudera, Amrozi, Mukhlas, Dr Azahari dan Nordin Md Top serta generasi pengikut Daesh seperti Mohd Rafi Udin, Muhammad Wanndy, Lofti, Akel, Fudhail dan Zanuri Kamarudin adalah contoh-contoh individu yang terhasil dari doktrin Tauhid Hakimiyah ini.
ANALISA – ADAKAH FAHAMAN SALAFI WAHABI SATU FAHAMAN YANG EKSTREM DAN MERBAHAYA?
Para ulama Al Azhar dan pakar- pakar dalam kajian gerakan Islam telah menegaskan bahawa fahaman Salafi Wahabi adalah satu ajaran dan gerakan yang ekstrem dan berbahaya kepada umat Islam serta dunia. Ini adalah disebabkan fahaman Salafi Wahabi menyuburkan pemikiran, sikap dan tindak tanduk yang ganas, bengis, memupuk perasaan benci bukan sahaja terhadap Kafir Harbi tetapi juga sesama umat Islam dan yang paling menakutkan ialah golongan Salafi Wahabi ini tidak ragu-ragu untuk mengkafirkan orang Islam yang bertentangan pendapat dengan mereka. Di dalam satu simposium di Mesir yang bertajuk ‘Wahabi: Ancaman Sangat Berbahaya Bagi Umat Islam dan Dunia’, tokoh-tokoh yang hadir telah membuat rumusan bahawa sebagai satu bentuk dakwah dan pemikiran, Wahabi berdiri di atas prinsip menolak dan mengkafirkan pihak lain. Ia mengancam keamanan dan keselamatan semua negara disebabkan ajaran kekerasan yang sangat berbahaya kerana menggalakkan anak-anak muda untuk melakukan keganasan ke atas masyarakat awam dan pemerintah di atas alasan-alasan yang remeh temeh.
Fahaman Salafi Wahabi mempunyai pendirian yang sangat negatif terhadap orang Kristian dan Islam sendiri terutamanya golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan golongan Syiah, terhadap wanita dan ilmu, muzik dan segala bentuk seni dan hasil peninggalan ajaran Salafi Wahabi ini adalah pemikiran radikal atau kekerasan, menolak realiti dan membekukan keintelektualan dalam masyarakat (Jumud). Fahaman Wahabi memang sesuai dengan orang yang ego, takbur dan merasakan diri paling sunnah, suci dan paling baik. Sikap begini menjadikan mereka berfahaman radikal dan menganjurkan tindakan teroris. Tidak hairanlah jika fahaman ini mempunyai keserasian dengan golongan pengganas seperti Taliban, Boko Haram, Al- Qaeda, Daesh @ ISIS, KAS dan lain-lain.
Menurut Vincenzo, seorang pengkaji gerakan Islam, terdapat enam aliran bagi merumuskan tentang fahaman Salafi Wahabi ini. Aliran-aliran tersebut adalah fahaman ini berkonsepkan literal, anti filosopi dan anti kepada perbahasan, anti kebudayaan, anti Nomian (menolak untuk menerima kebenaran tradisional), dalaman yang tidak stabil (kerana tiada sistem periksa dan imbang) dan akhir sekali fahaman ini adalah bersifat agresif dan represif. Sesungguhnya fahaman ini boleh disimpulkan sangat berbeza dengan ajaran mainstream Islam dari konsep budaya, mentaliti dan beragama. Vincenzo juga berpendapat bahawa fahaman ini adalah sangat berbahaya yang mana jika ia dicetuskan oleh orang-orang yang tidak berautoriti akan menggalakkan kepada keganasan dan pembunuhan ke atas orang awam yang tidak berdosa.
Abu Abddirrahman Al Thalibi @ A.M. Waskito yang telah menulis buku bertajuk ‟Bersikap Adil Kepada Wahabi‟ iaitu sebuah pembelaan terhadap pengikut Wahabi turut mengakui bahawa golongan Wahabi ini terlalu sensitif terhadap perbezaan di kalangan umat Islam lalu mencetuskan permusuhan malah sesama mereka sendiri. Golongan Wahabi juga terlalu rigid terhadap golongan wanita sehingga kaum wanita dianggap sebagai pembawa masalah. Mereka juga terlalu fokus tentang hal-hal tauhid tetapi kurang memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan tauhid umat Islam secara komprehensif. Golongan Wahabi juga meremehkan dan mengabaikan ilmu-ilmu umum seperti teknologi, pengurusan, komunikasi, budaya serta sosiologi kerana berpendapat bahawa ilmu itu bukan ilmu syari’at. Golongan Wahabi juga sebenarnya hipokrit terutamanya dalam aspek Fiqah yang melibatkan fotografi. Mereka juga memperlihatkan penampilan secara eksklusif dalam pergaulan seharian seperti cara berpakaian dan lanjutan dari sikap eksklusif ini menyebabkan mereka tidak mahu belajar, bergaul atau mengakui keilmuan orang-orang yang bukan dari golongan Wahabi. Ini jelas menunjukkan sikap golongan Wahabi yang keras terhadap orang Islam sendiri berbanding dengan orang bukan Islam.
PENUTUP
Perbincangan tentang ideologi dan matlamat perjuangan Daesh @ ISIS adalah merupakan satu perbincangan yang kompleks dan garis pemisah di antara isu-isu tauhid, jihad, radikalisme, fundamentalisme dan Irhabiyah terlalu sukar untuk dikenalpasti. Artikel ini telah membincangkan dengan terperinci bagaimana ideologi Salafi Wahabi mendapat tempat dalam kalangan pengikut kumpulan radikal seperti Al Jamaah Al Islamiyah dan Daesh @ ISIS. Perbincangan juga telah mengenal pasti persamaan antara istilah Wahabi dan Salafi yang telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum. Di dalam ajaran Salafi Wahabi sendiri juga telah muncul beberapa lagi aliran yang lebih ekstrem seperti Salafi Yamani, Salafi Takfiri dan Salafi Jihadi di samping terdapat juga aliran yang lebih moderat seperti Salafi Haraki. Walau apapun aliran atau pecahan dalam fahaman Salafi Wahabi ini, umumnya kesemua aliran tersebut jelas berbeza dengan aliran dan fahaman arus perdana Islam yang sebenar.
Pemahaman tentang doktrin Salafi Wahabi telah dapat menjelaskan bagaimana radikalisme, jihad dan Irhabiyah (keganasan) berkembang dalam suasana dunia Islam kontemporari. Dengan berselindung di sebalik seruan ke arah kembali kepada Manhaj Salaf segelintir umat Islam memberi definisi dan interpretasi serta Ijtihad yang berbeza dengan golongan dalam aliran arus perdana Islam. Sebagai kesimpulannya, doktrin agama yang bermula daripada doktrin keimanan melalui pemahaman tauhid inilah yang menterjemahkan segala bentuk matlamat, aksi, tindakan, aktiviti, gagasan, doktrin perjuangan serta matlamat akhir gerakan radikal seperti Daesh @ ISIS. Kefahaman terhadap doktrin tauhid dan aliran Salafi Wahabi yang berbeza inilah yang telah menjelaskan bagaimana kedudukan dan tindakan beberapa kumpulan radikal dalam senario gerakan Islam kontemporari serta pelbagai implikasinya terhadap masyarakat Islam mahupun bukan Islam global dan di Asia Tenggara. Fahaman atau pemikiran Salafi Wahabi ini sememangnya merupakan satu fahaman yang agresif, provokatif, jumud, rigid, represif, literalis dan reproduktif. Justeru, tidak sukar bagi memahami bagaimana segelintir umat Islam terjebak di dalam strategi dan ideologi yang mereka cipta sendiri melalui fahaman Salafi Wahabí.