PERLIS: Seramai 24 Pegawai dan 302 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah terlibat dalam Perbarisan Serah Terima Tugas Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia (30 Bgd) yang ke-9 di Kem Bukit Cowder, Kangar Perlis pada 6 Dis 2017.
Acara simbolik menandatangani nota serah terima tugas dan penyerahan tongkat kuasa di antara Pemangku Panglima 30 Bgd, Kol Noorul Azril Ariffin dan Brig Jen Hashim Aman Shah sebagai tanda tampok pemerintahan Panglima 30 Bgd yang baharu disaksikan oleh Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div), Mej Jen Dato’ Mohd Ramli Jaafar. Perbarisan yang terdiri daripada tujuh detasmen pasukan-pasukan di bawah naungan 30 Briged iaitu Batalion Pertama Rejimen Sempadan (1 RS), Batalion Kedua Rejimen Sempadan (2 RS), Batalion Ketiga Rejimen Sempadan (3 RS), Batalion Keempat Rejimen Sempadan (4 RS), Batalion Kelima Rejimen Sempadan (5 RS), Batalion Kesebelas Rejimen Sempadan (11 RS) serta Gabungan 30 Bgd yang diiringi oleh platun tambor dari Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanise) (19 RAMD (Mek)).
Turut hadir Ketua Staf MK 30 Bgd, Lt Kol Nazaruddin Ismail, pegawai-pegawai memerintah pasukan naungan, serta warga MK 30 Briged.