MELAKA: Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) Malaysia 2017-2050 dan Majils Menandatangani Nota Persefahaman antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kesihatan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein bersama Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam di 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) Kem Terendak pada 18 Jan 2018.
Perjanjian tersebut turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (KSU), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Angkatan Tentera, Lt Jen Dato’ (Dr) Hj Ya’akop Koming.
Terdahulu MENHAN, Menteri Kesihatan, PAT dan PTD telah didengarkan Taklimat Projek Peningkatan 94 HAT seterusnya mengadakan lawatan ke jabatan, klinik dan wad-wad bagi melihat serta memantau kemudahan dan perkhidmatan perubatan yang diterima anggota dan veteran ATM di 94 HAT.
Pelancaran Pelan Transformasi PKAT 2017-2050 merupakan salah satu teras halatuju Kementerian Pertahanan iaitu teras kebajikan di mana agenda kesihatan diletakkan sebagai salah satu agenda utama bagi menyokong transformasi negara 2050, justeru pelan ini telah dibentuk merangkumi lonjakan-lonjakan strategik berpandukan perancangan jangka masa panjang ATM dan kerajaan.
Dalam ucapan MENHAN, beliau menyatakan bahawa program hari ini amat signifikan kerana buat pertama kalinya dalam sejarah Kementerian Pertahanan dan ATM akan melancarkan Blueprint Kesihatan Kementerian Pertahanan yang komprehensif dan menyeluruh.
“Saya yakin kerjasama NBOS antara Kementerian Pertahanan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia ini membuktikan bahawa Kerajaan terus komited dalam usaha memenuhi aspirasi warga ATM demi memastikan kebajikan mereka khususnya berkaitan aspek kesihatan dan perubatan sentiasa terbela,” ujarnya.
Tambanya lagi, beliau mengharapkan agar selepas Blueprint Kesihatan dilancarkan, semua pihak berkepentingan yang telah diberi amanah dan tanggungjawab dapat terus bekerjasama rapat serta fokus terhadap peranan masing-masing.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ir. Hj Idris Hj Harun, Mantan Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam, KSU Kementerian Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min, pegawai-pegawai kanan ATM, veteran dan warga Kem Terendak.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali
[srizonfbalbum id=136]