SARAWAK: Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia mengadakan Pertandingan Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad (UKMHK) antara pasukan-pasukan di bawah naungan MK 1 Div dari 22 hingga 26 Jan 2018.
Pertandingan ini merangkumi empat bahagian iaitu Pasukan Tempur, Bantuan Tempur,Pasukan Bantuan Khidmat dan kategori wanita bagi menguji ketahanan mental dan fizikal pegawai dan anggota yang terlibat serta kesiap siagaan pasukan dan upacara penutup pertandingan disempurnakan Panglima 1 Div, Mej Jen Datuk Stephen Mundaw.
Panglima 1 Div ketika berucap pada majlis penutup menyatakan kesemua acara yang dipertandingkan ini adalah untuk membina ketahanan mental, fizikal dan semangat kepercayaan kepada diri sendiri serta kepada anggota dalam kumpulan.
“Pertandingan ini dapat membina dan membentuk semangat kerjasama serta kefahaman antara anggota dalam pasukan diisamping itu juga, menggalakkan anggota dalam kumpulan menggunakan daya ikhtiar dan inisiatif sendiri bagi mengatasi pelbagai halangan,” tegas Panglima 1 Div.
Pasukan yang menjadi johan bagi Pasukan Tempur dimenangi oleh Pasukan 13 RAMD, Bantuan Tempur dari Gabungan Trup 1 Div dan Bantuan Khidmat dimenangi Gabungan 9 Bgd dan Pasukan Wanita dimenangi Gabungan Trup 1 Div manakala Johan keseluruhan formasi dimenangi oleh 3 Bgd.
Dalam pada itu, Ketua Platun Lelaki Terbaik dimenangi oleh Lt Muhamad Azwan Salimi dari pasukan 3 RRD dan Ketua Platun Wanita Terbaik dimenangi oleh Lt M Norasmida Jumari dari 3 KPD.
Johan-johan pertandingan ini akan meneruskan pertandingan ke peringkat Tentera Darat yang akan diadakan di Sg Besi pada 19 hingga 23 Feb 2018.
Turut hadir Panglima 9 Bgd, Brig Jen Dato’ Dzulkafli Hj Mustaffa, Panglima 3 Bgd, Brig Jen Mohd Bustaman Mat Zin dan Panglima 31 Bgd, Brig Jen Datuk Fadzil Tajudin.