MELAKA: Seramai 12 pegawai dan 196 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari Rejimen Pertama Artileri Diraja Para (1 RAD Para) terlibat dalam Perbarisan Istiadat Mengarak Panji-Panji Rejimen 1 RAD (Para) diketuai oleh Mej Mohd Afizan Hj Md Lana di Padang Kawad Pasukan pada 27 Jan 2018.
Perbarisan ini adalah bersempena Hari Ulang Tahun Ke-56 1 RAD (Para) dan turut serta di dalam perbarisan ini adalah pegawai dan anggota dari 361 Bateri RAD Para sebagai pengawal medan serta Pancaragam Gabungan 10 Bgd (Para).
Dalam ucapan Pegawai Memerintah 1 RAD (Para), Lt Kol Hizamuddin Haris, beliau menegaskan bahawa rejimen ini meninggalkan banyak kenangan kepada anggota dan pegawai yang terdahulu samada yang masih berkhidmat atau yang telah bersara.
“Transformasi daripada Rejimen Artileri Medan biasa kepada Rejimen Artileri Medan Para tidak mengubah peranan dan tugas sebagai pasukan Artileri yang mana termasuklah dalam penglibatan di dalam operasi mahupun latihan dan harapan pada tahun ini adalah diharapkan lebih baik daripada tahun sebelum-sebelumnya,” jelas beliau.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Panglima dan formasi 10 Bgd (Para) yang telah memberikan kepercayaan dalam menjayakan Perbarisan Istiadat Mengarak Panji-panji Rejimen pada tahun ini.
Turut hadir Pengerusi Rejimen Artileri Diraja, Mej Jen Dato’ Nordin Hj Salleh, Pegawai Kanan RAD dan juga veteran 1 RAD Para.
Gambat: Sjn Ahmad Fadhli Abdullah