PERLIS: Kira-kira 90 peserta terdiri daripada pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) MK 30 Bgd, 4 RRD, Rej 504 AW, 5 RS dan 6 RAJD bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs) serta Team Tayar Golek (TTG) terlibat dengan Program Kayuhan Bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis Sempena Hari Tentera Darat Ke-85 di Padang Kawad Kem Bukit Cowder pada 5 Mac 2018.
Acara berbasikal tersebut adalah bercirikan ‘fund ride’ bagi memberi bantuan zakat dan sumbangan kepada tiga orang veteran tentera yang dikategorikan sebagai asnaf dan sumbangan kepada seorang veteran tentera yang beragama Buddha sebagai tanda ingatan dan keharmonian bersama tanpa mengira agama yang diterapkan oleh DYTM Raja Muda Perlis.
Sebagai permulaan majlis, DYTM Raja Muda Perlis telah perkenan untuk memberi sumbangan kepada 102 asnaf yang layak untuk menerima sumbangan serta asnaf yang menghidap penyakit kronik.
Asnaf yang telah menerima sumbangan ini terdiri dari veteran tentera dan orang awam yang telah dilaksanakan di Surau al-Kawkaba, Kem Bukit Cowder selepas solat asar.
Seterusnya, acara diteruskan dengan gimik pemotongan kek Hari Tentera Darat yang Ke-85 oleh DYTM Raja Muda Perlis, diiringi oleh Panglima 30 Bgd, Brig Jen Hashim Aman Shah di padang kawad Kem Bukit Cowder.
Acara diakhiri dengan Majlis Santapan Malam di Wisma Perwira Kayangan Kem Bukit Cowder dan baginda bertitah mengucapkan Selamat Hari Tentera Darat Ke-85 serta melahirkan rasa sukacita dengan sambutan warga tentera sempena keberangkatan baginda mencemar duli ke Kem Bukit Cowder.
Turut hadir, Ketua Staf Mk 30 Bgd, Lt Kol Nazaruddin Ismail dan Timbalan Komandan Rej 504 AW,
Lt Kol Huzaini Hussin.
Gambar: Kpl Mohamad Yusri Yusof