SARAWAK: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bersama Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi merasmikan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Fasa 1 Kem Sri Miri di Gelangang Futsal Kem Sri Miri pada 10 Apr 2018.
Acara dimulakan dengan PAT dan KSU menandatangani plaka perasmian dan seterusnya menyempurnakan acara penyampaian kunci RKAT Fasa 1 Kem Sri Miri kepada wakil anggota yang mendiami kompleks RKAT yang baru ini.
PAT dalam ucapannya telah menitikberatkan prasarana dan kebajikan anggota tentera agar dapat meningkatkan taraf hidup serta keselesaan warga tentera dimana perasmian rumah baharu ini akan menaikkan lagi semangat dan moral warga tentera untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang.
“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, pembinaan rumah keluarga seperti ini dilihat dapat memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada warga tentera dan keluarga.
“Tambahan pula warga tentera kerap melaksanakan tugasan jauh daripada keluarga dan amat penting mereka merasa yakin keluarga yang ditinggalkan sentiasa terpelihara dari segi keselamatan dan kebajikan,” katanya.
Turut hadir, Panglima Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Wira Mohd Zaki Hj Mokhtar, Panglima 1 Div, Mej Jen Datuk Stephen Mundaw, Panglima 9 Bgd, Brig Jen Dato’ Dzulkafli Hj Mustaffa.
Oleh: Lt Azlan Azmi
Gambar: Sjn Donny