KUALA LUMPUR: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Dato’ Sri Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa berkenan mencemar duli ke Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 dan mengunjungi booth Malaysia Army Pavilion di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 17 Apr 2018.
Pameran yang diadakan selama empat hari itu telah menarik minat Baginda untuk mengunjungi dan melihat sendiri akan booth yang mempamerkan dengan pelbagai peralatan serta kenderaan pertahanan melibatkan 1,500 syarikat dari 45 buah negara.
DSA 2018 adalah pameran dan persidangan yang diiktiraf antara lima terbaik dunia dengan pelbagai acara diadakan dan buat julung kalinya acara dwitahunan yang diadakan sejak tahun 1988 ini ditempatkan di lokasi baharu serta kali pertama edisi Ke-16 DSA dianjurkan bersama NATSEC Asia.
Baginda seterusnya mengunjungi booth Malaysia Army Pavilion lalu dibawa ke Bilik Operasi Divisyen Tentera Darat (TD) bagi melihat sendiri akan aktiviti latihan serta paparan operasi dan komunikasi dua hala secara tepat masa serta turut dipertontonkan teknologi peperangan elektronik termaju dan terkini yang disokong oleh sistem Network Centric Operation (NCO) dan X-Band.
Selain itu Baginda turut diberi taklimat di ruang pameran TD berhubung Program Network Centric Operation (NCO) yang berupaya mempertingkatkan keberkesanan perintah dan kawalan kepada pelbagai operasi dan aktiviti di medan.
Pada masa sama Baginda juga berpeluang memberi arahan tembakan meriam yang dipancar menggunakan sistem teknologi maklumat termaju secara langsung terus ke tapak latihan menembak sejauh 190km.
Pada masa yang sama, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Prof Madya Dato’ Seri Diraja Pehin Sri Tan Sri Hj Abdul Taib Mahmud turut mengunjungi booth Malaysia Army Pavilion di mana ketibaannya di sambut oleh Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah.
Turut hadir Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin dan Panglima MK Gapu, Brig Jen Dato’ Yusri Anwar.
[srizonfbalbum id=203]