PAHANG: Seramai 1300 warga Tentera Darat (TD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hadir dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri (PM), Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak Bersama Warga Kem Batu 10 dan Pangkalan Udara (PU) Kuantan di Dewan Sri Panching pada 29 Apr 2018.
Terdahulu, ketibaan PM dan isteri disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim lalu mengiringi PM ke pentas dewan bagi acara beramah mesra.
Dalam ucapan PM, beliau mengingatkan agar semua warga tentera yang hadir tidak terpedaya dengan berita-berita palsu yang tersebar di internet dan media sosial di mana setiap maklumat yang diperolehi harus dikaji dan dinilai bagi menentukan kesahihannya sebelum membuat kesimpulan terhadap berita tersebut.
Pada masa sama, PM turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi penambahbaikan sistem pendingin hawa Dewan Sri Panching untuk kegunaan dan keselesaan warga tentera selain pelbagai peruntukan tambahan berjumlah RM6 juta untuk projek menaiktaraf sistem bekalan air kem.
Selain itu sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk projek infrastruktur kem iaitu bangunan pelbagai guna yang sudah 90 peratus siap pembinaannya dan turut menerima peruntukan ialah BAKAT DARAT serta BAKAT TUDM yang mana masing-masing menerima RM 50,000 bagi tujuan melaksanakan pelbagai aktiviti BAKAT sepanjang tahun.
Turut hadir Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima 4 Bgd (Mek), Brig Jen Dato’ Md Din Abu dan Ahli-ahli BAKAT.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali dan Saifun Hakimi Zainon
[srizonfbalbum id=214]