KEDAH: Seramai 94 veteran Kor Risik Diraja (KRD) dan warga KRD dari Zon Utara hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Zon Utara bersama Asisten Ketua Staf Perisikan, Brig Jen Dato’ Rezil Shahidin yang dianjurkan oleh Batalion 165 Risik Tentera Darat (165 MIB) di sebuah hotel terkemuka sekitar Sungai Petani pada 1 Jun 2018.
Majlis yang menjadi acara tahunan ini bertujuan untuk mengekalkan hubungan baik di antara anggota KRD yang masih berkhidmat dengan Pesara KRD dan juga Kelab Veteran Risik Malaysia (KVRM) serta mengambil berat akan kebajikan warga veteran KRD dalam menghargai jasa bakti dan pengorbanan mereka semasa berkhidmat suatu ketika dahulu.
Dalam ucapan Pengarah KRD, Brig Jen Mahmud Ahmad beliau amat berbangga akan keutuhan hubungan silaturahim antara KRD dan KVRM yang sentiasa memantau tentang kebajikan dan permasalahan yang dihadapi oleh Pesara KRD serta mereka yang masih berkhidmat agar kebajikan mereka ini sentiasa terjaga.
“Saya mahukan hubungan yang baik ini haruslah diteruskan supaya pihak KRD dapat mengetahui akan permasalahan Pesara KRD dan saya berharap anda semua sebarkan kepada Pesara KRD yang lain supaya berdaftar dengan KVRM kerana dari situ kita dapat memantau akan kebajikan mereka ini,” katanya.
Turut hadir Ketua Perisikan 165 MIB, Kol Mohd Fauzi Abdul Majid dan Pengarah Direktorat Strategik, Kol Razali Alias.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon