KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bekerja di Kementerian Pertahanan hadir dalam Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera di antara Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 20 Jun 2018.
Majlis diteruskan dengan menandatangani Nota Serah Terima Tugas PAT Ke-20 yang saksikan oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Hj Mohamad Sabu.
Pada masa sama, majlis juga bersempena dengan persaraan mantan PAT yang akan bersara setelah 42 tahun menabur bakti dan mengabdikan diri kepada ATM serta peralihan tampuk pemerintahan ATM yang baharu.
Mengimbas keperibadian PAT Ke-20, Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin, beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat pada 20 Mei 2010 dan seterusnya dilantik sebagai Panglima Tentera Darat Ke-24 pada 14 Jun 2011.
Majlis diakhiri dengan acara simbolik iaitu street lining bagi memberi penghargaan dan penghormatan terakhir kepada mantan PAT oleh pegawai-pegawai ATM bermula dari pintu hadapan Kementerian Pertahanan hingga ke Balai Pengawal Utama.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Halimi Abd Manaf, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affandi Buang TUDM.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali, SSjn Vijay Gaundar Arikshnan dan Sjn Saifun Hakimi Zainon (Besara)
[srizonfbalbum id=236]