TERENGGANU: Seramai 16 pegawai dan 380 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari Batalion Ke-18 Rejimen Askar Askar Melayu Diraja Para (18 RAMD Para) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-19, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diketuai Pegawai Memerintah 18 RAMD (Para), Lt Kol Din Izuan Mahar Afandi di Padang Kawad 18 RAMD (Para) pada 23 Jun 2018.
Terdahulu ketibaan PAT disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim lalu di bawa ke Pentas Hormat, untuk menerima tabik hormat terakhir daripada anggota perbarisan melibatkan lima detasmen tempur.
Perbarisan ini merupakan simbolik bagi menghargai jasa, khidmat dan bakti yang telah dicurahkan oleh mantan PAT selama 42 tahun berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dimana beliau juga pernah berkhidmat di 18 RAMD sebagai Pegawai Memerintah Ke-12 pada 16 Apr 1997 hingga 13 Jan 1999.
Dalam ucapan mantan PAT, beliau berkata perbarisan yang diadakan ini bukanlah semata-mata bertujuan untuk menghargai beliau tetapi ianya adalah untuk beliau menghargai mereka yang telah memberikan khidmat bakti kepada perkhidmatan.
“Jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada anggota-anggota yang berada di dalam perbarisan yang mana telah bersama-sama menentukan Tentera Darat terus berada di tahap tertinggi yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat negara ini,” ujar PAT.
Selesai acara perbarisan, beliau sekali lagi diberi penghormatan merasmikan Bilik Mesyuarat Tan Sri Affandi di Markas Batalion 18 RAMD (Para) dan juga The King’s Corner di Wisma Perwira.
Serba ringkas keperibadiannya, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor telah dilahirkan di Kampung Raja Besut, Terengganu pada 20 Jun 1957 lalu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kampung Raja, Besut Terengganu.
Setelah menamatkan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Ismail, beliau telah mengikuti latihan sebagai Bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan seterusnya di Maktab Tentera Diraja sebagai Pegawai Kadet dan ditauliahkan sebagai Lt Muda ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 11 Mei 1977.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Ketua Staf TD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Redzuan Hj Baharudin dan Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Dato’ Tengku Muhamad Fauzi Tengku Ibrahim.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali dan Saifun Hakimi Zainon
[srizonfbalbum id=242]