PAHANG: Seramai 18 pegawai dan 330 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) 4 Bgd (Mek) serta 30 buah kenderaan jenis A terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat (PTD) yang diketuai Pegawai Memerintah 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Lt Kol Mohammad Rizal Hj Saad di Padang Kawad Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) pada 19 Jul 2018.
Perbarisan ini merupakan simbolik bagi menghargai jasa, khidmat dan bakti yang telah dicurahkan oleh PTD, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim yang telah berkhidmat selama 42 tahun di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya.
Dalam ucapan PTD, beliau berharap agar majlis ini dijadikan satu platform bagi mengeratkan hubungan sesama anggota dalam satu keluarga besar Tentera Darat (TD) di samping dapat mengimbau kembali kenangan bersama untuk diabadikan.
“Tanggal 3 Sep 2018 yang akan datang merupakan hari paling nostalgik dalam lipatan sejarah hidup saya di mana tarikh tersebut akan mencatatkan titik penghujung setelah 42 tahun mengabdikan jiwa dan raga kepada ATM dan pelbagai perubahan dalam TD saya telah lihat.
“Hari ini kita dapat menyaksikan ketumbukan 4 Bgd (Mek) terus unggul dan cemerlang dalam mendukung aspirasi TD dengan peralihan pucuk pimpinan yang silih berganti serta meninggalkan legasi dengan gaya kepimpinan tersendiri,” kata PTD.
Selain itu beliau menyeru agar anggota terus berkhidmat dengan penuh ikhlas dan jujur kerana keikhlasan dan kejujuran itu sebagai asas kegemilangan organisasi sekali gus mampu menghindari daripada sifat tamak haloba dan perasaan hasad dengki.
Mengimbas kembali keperibadian PTD, beliau dilahirkan di Gong Kapas Terengganu pada 24 Feb 1959 dan menjalani latihan di Akademi Tentera Diraja, Sandhurst, England sebagai Pegawai Kadet tahun 1977 serta ditauliahkan sebagai Lt M pada 7 Apr 1978.
Beliau mendirikan rumahtangga dengan Puan Sri Datin Sri Zaleha Md Yusof dan dikurniakan tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.
Terdahulu ketibaan PTD, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim disambut Panglima 4 Bgd (Mek), Brig Jen Dato’ Md Din Hj Abu serta menerima tabik hormat dari kontinjen perbarisan yang terdiri dari lima detasmen kemudian beliau menaiki kenderaan ACV Adnan bagi memeriksa perbarisan diiringi Pancaragam Gabungan Platun Tambor Batalion Ke-12 RAMD (Mek).
Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, ahli BAKAT dan warga 4 Bgd (Mek).
Gambar: SSjn Vijay Gaundar dan Sjn Saiful Fazley Rusli
[srizonfbalbum id=253]