KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Penganugerahan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2019 di Dataran Panglima Tentera Darat pada 16 Mac 2018.
Perbarisan diketuai oleh Pegawai Rendah Muda Mohd Zulzafri Zolkarnain diiringi pancaragam Gabungan Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja dan Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia di bawah pimpinan Mej Mohd Nor Azizan Yahya.
Julung kalinya, istiadat pada kali ini menggabungkan antara Pegawai Kadet Akedemi Latihan Ketenteraan bersama-sama Pegawai Kadet Graduan daripada Akademi Tentera Darat, Kapal Diraja Sultan Idris 1 dan Akademi Tentera Udara melibatkan seramai 509 Pegawai Kadet terdiri daripada 294 Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 101 Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 109 Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), enam Pegawai Kadet Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan dua Pegawai Kadet daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan dan penyandang Pedang Kehormat dianugerahkan kepada Pegawai Rendah Muda Mohd Zulzafri Zolkarnain manakala Pegawai Kadet Terbaik TDM dinobatkan kepada Pegawai Rendah Kanan Mohamad Izzat Mohamad Zafri dan Pegawai Kadet Terbaik TUDM ialah Pegawai Rendah Muda Muhamad Fadzil Ahmad Bustaman diikuti dengan Pegawai Kadet Terbaik TLDM dianugerahkan kepada Pegawai Kadet Kanan Rakhvinder Singh Gurbanjan Singh.
Dalam titah ucapan Agong, baginda menzahirkan setinggi tahniah di atas kejayaan seluruh Pegawai Kadet yang menamatkan latihan dan baginda yakin dengan berbekalkan ilmu yang telah diperoleh semasa dalam latihan, pegawai-pegawai ini dapat menyumbang ke arah pembentukan ATM yang disegani.
“Sebagai seorang pemimpin, beta berharap agar semua Pegawai Kadet akan lebih berkemampuan untuk menghadapi sebarang bencana masa hadapan dengan penuh yakin dan jati diri yang tinggi serta sanggup berkorban untuk agama bangsa dan kedaulatan negara agar terpelihara.
“Selain itu hendaklah berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam ketenteraan secara berterusan agar sensitif pada perkembangan teknologi pertahanan semasa,” titah baginda.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Hj Mohamad Sabu, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin, Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affandi Buang TUDM dan Naib Canselor UPNM, Lt Jen Hj Abdul Halim Hj Jalal serta pegawai-pegawai kanan ATM
Gambar: Saifun Hakimi Zainon