KEDAH: Menteri Pertahanan, Hj Mohamad Sabu telah menyempurnakan Penutup Special Force Ultimate Challenge (SFUC) 2019 melibatkan ketiga-tiga Unit Khas ATM iaitu Gerup Gerak Khas (GGK) yang diwakili oleh 21 GGK, Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang dilaksanakan di Kem Hobart, Gurun pada 22 Sep 2019.
Terdahulu ketibaan MENHAN disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin.
Pertandingan ini bertujuan mengukur tahap kemampuan anggota di dalam aspek fizikal dan mental serta menguji kemahiran dan kepakaran anggota berada di tahap yang terbaik serta bersedia untuk diaturgerakkan pada sebilang masa.
SFUC telah bermula pada 18 hingga 22 Sep 2019 melibatkan kawasan sekitar negeri Kedah iaitu Kawasan Tanjung Dawai, Sungai Merbuk, Bedong, Gunung Jerai, Yan, Simpang Empat dan penutup di Kem Hobart, Gurun.
Setiap penyertaan pasukan terdiri dari dua tim yang mana terdapat empat disiplin untuk diadili dan Disiplin Pertama adalah pertandingan Helocasting, Berenang, Mendayung dan Ujian Komunikasi.
Manakala Disiplin Kedua pula adalah Pandu Arah, Ujian baca peta manakala Disiplin Ketiga merangkumi Jalan lasak, Ujian Perubatan, Hot Extraction dan abseling.
Disiplin Keempat pula merangkumi Pertandingan Menembak Taktikal, Letupan dan menyelamatkan tebusan yang dilaksanakan sejurus ketibaan MENHAN semasa upacara penutup.
Dalam ucapan MENHAN, beliau amat berbangga dengan kekuatan fizikal, prestasi dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Tim pasukan yang terlibat.
“Tanpa semangat juang yang tinggi dan tidak mengenal erti perit jerih amatlah sukar untuk menjayakannya dan sudah pasti visi dan misi untuk mempertahankan kedaulatan negara akan terus dipikul oleh pasukan elit ATM.
“Kemahiran tinggi yang dipamerkan, membuktikan pasukan elit ATM berada dilandasan yang betul dan berupaya untuk digerakkan dalam apa jua situasi dan keadaan,” jelasnya.
Hadiah telah disampaikan oleh MENHAN dan Johan Keseluruhan pertandingan SPUC 2019 dimenangi oleh 21 GGK, yang mana bagi Disiplin Pertama dimenangi Pasukan PASKAU B, Disiplin Kedua dari 21 GGK B manakala Disiplin Ketiga dan Keempat dimenangi oleh 21 GGK A.
Bagi Tim terbaik berdasarkan tempoh masa yang terpantas setiap disiplin dan prestasi terbaik ujian menembak disandang oleh 21 GGK B.
Piala pusingan akan diserahkan semasa perbarisan Hari ATM di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut pada 27 Sep 2019.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato Sri Affendi Buang TUDM, pegawai-pegawai kanan ATM dan pesara–pesara dari GGK, PASKAL DAN PASKAU.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon