Rencana

Tahun Latihan dan Penjajaran Dipraktikkan Sepenuhnya

Tahun 2019 merupakan tahun yang mencabar buat Tentera Darat (TD) di mana tahun tersebut merupakan tahun Latihan dan Penjajaran bagi membuktikan kredibiliti TD berada ditahap yang maksima bagi meyakinkan rakyat bahawa TD adalah benteng pertahanan utama negara.

Latihan dan Penjajaran amat diperlukan dalam membentuk sebuah angkatan yang kredibel dan mantap di mana setiap anggota profesional, mahir dan terlatih untuk menghadapi apa jua situasi peperangan masa kini.

Oleh yang demikian, setiap Kor atau Rejimen dalam TD harus menitikberatkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan dalam menggalas peranan masing-masing untuk menghadapi cabaran mendatang. Tempoh ini bukan saja digunakan untuk berlatih memperkasakan doktrin dan prosedur dalam berhadapan dengan situasi sebenar, sebaliknya penjajaran juga akan dilakukan bagi memastikan setiap intipati organisasi mempunyai objektif dan hala tuju yang sama.

Apabila bercakap tentang tugas dan peranan seorang anggota tentera umum mengetahui yang tentera telah dilatih untuk berperang dengan musuh terutamanya komunis ketika zaman darurat dahulu. Bagaimana dengan keadaan aman pada masa kini, apakah yang mereka lakukan?

Sebenarnya tentera sentiasa berlatih ketika waktu aman sebagai persediaan untuk mempertahankan negara ketika sedang berperang. Hanya anggota tentera itu sendiri yang tahu tanggungjawab sendiri yang tergalas di bahu masing-masing. Dengan adanya anggota tentera dapatlah rakyat negara Malaysia hidup dengan aman dan damai tanpa menghadapi sebarang peperangan.

Walaubagaimanapun, TD sentiasa mempersiapkan anggota serta aset-aset supaya berada dalam keadaan yang baik bersesuaian dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-27, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohamad Nawawi yang mahukan Tahun 2019 sebagai tahun Latihan dan Penjajaran.

Merealisasikan hasrat pucuk pimpinan tertinggi Tentera Darat, sambutan meraikan Hari TD Ke-86 pada kali ini dilaksanakan dengan kelainan yang berbeza dari sambutan TD yang terdahulu. Perbarisan Hari TD Ke-86 telah disambut bertempat di Sungai Siput, Perak pada 1 Mac 2019. Pemilihan tempat sambutan ini merupakan lokasi pertama darurat yang diisytiharkan di Tanah Melayu pada 1948 sekali gus mengingatkan jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

Selain itu sambutan ini turut disusuli dengan pelaksanaan Eksesais SATRIA PERKASA iaitu untuk menguji keupayaan formasi dan pasukan termasuk keberkesanan penyatuan operasi selain menilai kemampuan TD dalam mengatur gerak kumpulan Briged Infantri sekali gus melaksanakan latihan secara sistematik. Apa yang menarik, ianya diadakan serentak dengan pelancaran latihan medan peringkat Briged di kedua-dua Pemerintahan Medan Barat dan Timur.

Dalam mempersiapkan diri untuk berlatih, apa yang lebih penting adalah penjajaran sikap serta mindset perlu diselaraskan khususnya dalam melaksanakan penugasan selaku warga organisasi yang berkredibel. Penjajaran yang dilakukan ini akan merubah tingkahlaku, kemahiran serta pengetahuan ke tahap yang diperlukan. Realignment ini amat diperlukan bagi mengurangkan capability gap agar prestasi warganya memenuhi kehendak organisasi.

Bermula dari hari pertama melapor diri ke Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), anggota tentera telah dilatih, diajar untuk mempersiapkan diri, mental dan fizikal serta rohani dalam mempertahankan kedaulatan negara. Ianya tidak terhenti apabila mereka telah tamat latihan asas di PUSASDA malah bermula pula pembelajaran baharu ketika melapor diri di pasukan masing-masing. Selagi berada dalam perkhidmatan seorang anggota itu tetap belajar sesuatu yang baharu pada setiap hari.

Ini bagi meningkatkan kemahiran diri dan tahap penguasaan terhadap bidang yang dipelajari. Anggota tentera sendiri jangan mudah terpengaruh atau mengambil jalan mudah untuk terus berjaya kerana tiada kejayaan yang datang bergolek tanpa sebarang usaha yang kental. Apabila melibatkan senjata api, warga tentera yang mengendalikan harus memiliki kemahiran dan pengalaman agar tidak timbul sebarang isu dikemudian hari. Walaupun tugas seharian bermain dengan senjata api, namun warga tentera sentiasa berlatih untuk lebih mahir dalam mengendalikannya.

Mengimbas kembali kisah seorang pegawai tentera unit Komando yang terkorban ketika melakukan demonstasi penubuhan Markas 5 Divisyen di Sabah pada bulan September lepas, beliau merupakan seorang anggota tentera yang terlatih mahir dalam penguasaan senjata namun ajal maut di tangan tuhan kita tidak dapat mengelak segala ketentuan dari Ilahi. Berita ini menggemparkan negara dan bermacam-macam reaksi, pandangan serta pendapat dari orang ramai. Ada di antaranya yang memuji namun masih terdapat yang mengeji. Itulah tugas seorang anggota tentera yang sentiasa berlatih, berlatih dan terus berlatih bagi mempersiapkan diri menghadapi dugaan sebenar peperangan.

Senjata api, peluru hidup dan bom adalah mainan seorang anggota tentera. Biarpun mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara mereka sanggup tolak ke tepi sebarang bahaya atau kemungkinan yang bakal terjadi. Kerana niatnya hanya memastikan orang awam dapat menikmati kenikmatan hidup dalam keadaan selesa dan harmoni dengan berbilang bangsa dan kaum. Atas sebab dan alasan inilah mereka sentiasa berlatih dengan melakukan pelbagai eksesais demi menguji kemampuan aset dan meningkatkan lagi kemahiran sebagai seorang anggota tentera.
Di masa yang sama, PTD turut menekankan bahawa TD merupakan elemen penting dalam menentukan kemakmuran dan keamanan negara dan beliau memutuskan pendekatan terbaik bagi TD adalah ASAS yang bermaksud Amal, Sistem Pemerintahan Rejimental, Adaptasi dan Siap Siaga dalam memperkasakan empat tonggak utama iaitu angkatan professional, ketumbukan siap siaga, keutuhan organisasi dan memperkasakan kualiti hidup.

Beliau sentiasa menyeru dan mengingatkan seluruh warga TD menerusi nukilan Dari Meja Panglima Tentera Darat yang menyentuh betapa pentingnya latihan sama ada yang formal mahupun tidak. Melalui latihan dan penjajaran yang sewajarnya, TD akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan mengenal pasti keperluan dan penyediaan latihan yang diperlukan berdasarkan core competencies setiap cabang perkhidmatan TD.

Selain dari membangunkan human capital yang sedia ada, TD juga dilengkapi dengan persenjataan yang moden dan canggih agar mampu mempertahankan kedaulatan negara baik dari darat, laut mahupun udara. Penyerapan dan keseimbangan teknologi tinggi merupakan nadi penggerak di dalam usaha TD untuk muncul sebagai ketumbukan yang kredibel, berdaya saing dan mampu memberi kelebihan kepadanya di dalam mana-mana situasi peperangan.

Oleh itu marilah kita sebulat hati menyahut hasrat murni ini demi mempertingkatkan kredibiliti serta keupayaan organisasi kebanggaan kita semua agar kepercayaan rakyat umum terhadap perisai mereka ini tidak dikrompomi. Marilah kita bersama-sama merealisasikan amanah dan tanggungjawab kita kepada rakyat dan sentiasa bersedia sebagai sebuah angkatan yang efisien dan efektif mempertahankan kedaulatan negara dan bangsa tercinta selaras dengan ikrar yang sentiasa
kita laungkan.

Artikel Berkaitan

Back to top button

bonus new member

sicbo online