KUALA LUMPUR: Tentera Darat (TD) telah mengadakan Sambutan Hari Raya dan Ibadah Korban yang disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Datuk Zamrose Mohd Zain bertempat di Padang Kawad Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD) Sungai Besi pada 31 Jul 2020.
Acara dimulakan dengan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha bertempat di Masjid Angkatan Tentera Kem Perdana Sungai Besi yang diimamkan oleh Ketua Dakwah Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Lt Kol Hj Mohd Jihadi Hj Ahmad manakala Khutbah Aidiladha disampaikan oleh Pengarah Agama Markas TD, Kol Muhammad Azmi Wahab.
Pelaksanaan Ibadah Korban bermula dengan penyerahan pisau sembelih daripada PTD kepada Pengarah Agama Markas TD sebagai simbolik penyempurnaan Majlis Ibadah Korban yang mana sebanyak 24 ekor lembu, tiga ekor kerbau dan enam ekor kambing dikorbankan sepanjang dua hari melalui penyertaan warga TD yang bertugas di sekitar Lembah Klang.
Suasana Ibadah Korban sedikit berbeza pada tahun ini akibat pandemic COVID-19 dengan mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob juga turut menyumbangkan seekor lembu dan enam ekor kambing kepada TD untuk disembelih dan diagihkan kepada penerima yang layak.
Diakhir acara, PTD turut berkesempatan mengagihkan daging korban kepada warga TD yang hadir didalam majlis tersebut.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan Panglima 4 Div, Mej Jen Dato’ Hj Yaacob Hj Samiran.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon