NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah menyampaikan amanat beliau selepas 100 hari dilantik sebagai PTD semasa Perbarisan 100 Hari Pemerintahan PTD Ke-28 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 25 Sep 2020.
Seramai 109 pegawai dan 827 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada Detasmen Tempur, Detasmen Bantuan Tempur, Detasmen Bantuan Khidmat, Detasmen 21 GGK, Detasmen 10 Bgd (Para) dan Detasmen Wanita Tentera Darat (TD) terlibat dalam perbarisan statik yang diketuai oleh Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia, Brig Jen Anuar Abdul Wahab.
Perbarisan dilaksanakan secara statik dengan penjarakan anggota sesuai dengan norma baharu serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan.
PTD dalam ucapannya telah menyatakan pencapaian yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang 100 hari pemerintahan berdasarkan perintah ulung beliau yang menggariskan Tiga Prinsip dan Lima Tonggak (3P 5T).
“Seperti organisasi yang lain, Tentera Darat Malaysia (TDM) juga berdepan dengan pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan pencapaian kesiagaan tertinggi dan kelangsungan misi dalam menjaga kepentingan negara dan rakyat serta mempertahankan kedaulatan negara.
“Pencapaian dan kejayaan utama saya laksanakan dalam 100 hari pemerintahan ini adalah penggubalan hala tuju TD dengan mewujudkan model tiga prinsip dan lima tonggak yang diumumkan dalam Perintah Ulung PTD Ke-28.
“Saya telah menubuhkan jawatankuasa pemantau untuk memantau strategi dan pelan tindakan di peringkat Markas Tentera Darat supaya model 3P 5T ini tidak bersifat retorik semata-mata,” jelasnya.
Beliau menyeru supaya seluruh warga TD dapat terus komited serta memberikan komitmen dalam melaksanakan perkara-perkara yang digariskan dalam tonggak perintah ulung bagi mencapai perkara yang masih tidak tercapai atau tidak dicapai spenuhnya pada ketika ini.
Selain itu turut dipamerkan adalah aset ketenteraan iaitu dua buah kenderaan GEMPITA, dua buah LIPAN BARA, dua buah meriam 155mm G5, dua buah Pelancar Roket Berganda ASTROS, dua buah Rapid Ranger dan dua buah Kenderaan Pembawa Senjata GK MK 1 Gatling Gun.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dan Pegawai Kanan TD.
Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli, Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon