KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah menghadiri Majlis Graduasi Dan Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) Siri 49/2020 yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM di Auditorium Utama, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) pada 24 Sep 2020.
Seramai 164 peserta kursus terdiri dari 82 pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM), 21 pegawai dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 21 pegawai dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), seorang masing-masing dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menamatkan kursus yang bermula dari Ogos 2019 hingga Sep 2020.
Selain itu kursus ini turut dihadiri oleh 38 pegawai tentera dari 23 negara sahabat yang mempunyai perhubungan diplomatik dengan Malaysia.
Graduan kursus ini menerima sijil psc (passed staff college) dan Post-Graduate Diploma in Strategic and Defence Studies dan program diploma ini telah dibangunkan dengan kerjasama Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Mej Maslinda Dato’ Masood dari Kor Risik Diraja (KRD) dinobatkan Anugerah Lembaga MTAT Keseluruhan Terbaik Peserta Kursus Malaysia dimana ianya diberikan kepada peserta kursus terbaik keseluruhan merangkumi pengetahuan akademik, pengaplikasian prinsip dan pengetahuan ketenteraan, berkebolehan merancang serta mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang cemerlang.
Manakala Mej Shaun Andrew Michael dari Singapura dinobatkan Anugerah Lembaga MTAT Keseluruhan Terbaik Peserta Kursus Luar Negara.
Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon