KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah menghadiri Majlis Penutup Kursus Ketahanan Nasional (KKN) 2020 yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM di Auditorium Utama, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) pada 30 Sep 2020.
Seramai 12 pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM), empat pegawai kanan masing-masing dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya menamatkan kursus selama 52 minggu.
KKN 2020 bermula pada 3 Sep 2019 merupakan siri pertama yang diadakan sejak penubuhan Maktab Ketahanan Nasional (National Resilience College) secara rasmi pada 31 Jul 2019 yang dihadiri oleh pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Brig Jen dan Kol atau setaraf.
Sewaktu awal pandemik COVID-19, penuntut KKN dan Ahli fakulti Maktab telah diaturgerak untuk menyokong Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha membendung krisi tersebut dimana tim ini sebahagian utama think tank yang bekerjasama dengan 22 agensi kerajaan yang berkepentingan.
Susulan itu, tim ini telah berkolaborasi bagi pembentukan Joint Common Operating Picture (J-COP) untuk berkongsi maklumat bagi membantu proses membuat keputusan-keputusan kritikal.
Semua usaha ini dilaksanakan dengan hemah dan profesional hingga berjaya mencadangkan opsyen-opsyen penyelesaian dan diangkat untuk dipertimbang seterusnya diperakui kerajaan.
Ini merupakan antara pencapaian besar ATM amnya dan menzahirkan kewibawaan maktab ini khususnya di mana para peserta bukan sahaja berjaya menjalani kursus ini dengan efektif malah pada waktu yang sama berjaya berkhidmat dengan cemerlang demi kepentingan negara.
Dalam majlis ini turut diadakan pelancaran buku bertajuk Nation Call yang dihasilkan oleh peserta kursus dimana ianya sebuah buku kompilasi laporan penugasan oleh para peserta kursus semasa negara menghadapi wabak COVID-19.
Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon