KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mantan Ketua Pengarah Cawangan Tenaga Kerja (CTK), Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mej Jen Suriakala Suriabagavan diatas segala sumbangan dan jasa bakti yang telah dicurahkan setelah 38 tahun 10 bulan dan 25 hari menabur bakti dalam Tentera Darat (TD) khasnya dan ATM amnya.
“Sudah menjadi lumrah setiap yang bermula pasti akan berakhir dan TD akan kehilangan seorang lagi pegawai kanan yang amat berwibawa sepanjang perkhidmatannya iaitu Mej Jen Suriakala Suriabagavan akan meninggalkan perkhidmatan,” kata PTD dalam ucapannya semasa menyempurnakan Perbarisan Penghargaan Mej Jen Suriakala Suriabagavan di Padang Kawad Rejimen 515 Askar Wataniah pada 12 Okt 2020.
Tambah PTD lagi, di sebalik kejayaan seorang srikandi di belakangnya berdiri teguh seorang ibu serta anak-anak yang memberi kekuatan serta sokongan dan motivasi kepada beliau untuk terus bangkit dan berjuang demi keluarga tercinta.
Mengimbas keperibadian Mej Jen Suriakala Suriabagavan, beliau dilahirkan di Klang Selangor pada 26 Okt 1960 dan akan bersara wajib daripada perkhidmatan berkuatkuasa 25 Okt 2020.
Beliau mula menyertai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 1 Dis 1981 dan ditauliahkan dengan pangkat Lt M pada 18 Dis 1982.
Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah Pengarah Dasar dan Pembangunan Sumber Manusia di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Pengarah Tenaga Kerja di CTK, Bahagian Perkhidmatan Anggota dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita TD.
Atas jasa perkhidmatan yang dicurahkan, beliau dinaikkan pangkat Mej Jen dan menjawat jawatan Ketua Pengarah Tenaga Kerja dimana beliau bertanggungjawab dalam penggubalan, terma, syarat-syarat dan dasar berkaitan skim perkhidmatan dan saraan ATM.
Terdahulu dari itu, Mej Jen Suriakala Suriabagavan menerima tabik hormat terakhir dari kontinjen perbarisan diketuai oleh Lt Kol Fadzlie Rizal Ishak melibatkan tiga detasmen terdiri dari 12 pegawai dan 76 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Perkhidmatan Am (KPA) dalam keadaan norma baharu mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dalam ucapan Mej Jen Suriakala Suriabagavan, beliau mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan diatas keikhlasan serta kesudian pucuk pimpinan TD menghadiahkan sebuah perbarisan yang bersemangat dan mantap yang akan kekal abadi dalam hidupnya.
“Tiada kata atau ungkapan yang dapat saya tuturkan mengenai perasaan saya pada hari ini, perasaan sedih bercampur gembira kerana saya telah tiba di garisan penamat dalam kerjaya saya sebagai seorang pegawai tentera,” katanya.
Tambahnya lagi, perkhidmatan memberi pengetahuan dan pengalaman kepada kita dalam menentukan hala tuju kerjaya serta mengenal pasti kelebihan dan kelemahan kita seterusnya cemerlang dalam bidang diceburi atau tugasan yang dilaksanakan.
“Ambillah peluang yang sedia ada bagi merealisasikan cita-cita bersama, sayangi diri, kerjaya, organisasi kita dan terus berjuang untuk kebaikan bersama,” pesan Mej Jen Suriakala Suriabagavan.
Turut hadir, AKS Perkhidmatan Anggota, Lt Jen Dato’ Hj Azlan Abdul Rahman, Pengerusi KPA, Mej Jen Dato’ Nazri Abu Bakar, Pengarah Urusan Gaji Angkatan Tentera, Brig Jen Dato’ Abdul Hadi Md Sharif dan Pengarah CTK, Brig Jen Roba’i Rahmat.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon