KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengadakan Lawatan Ulung ke Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) di Kem Perdana Sungai Besi pada 12 Nov 2020.
Lawatan ulung ini merupakan lawatan rasmi dalam siri lawatan beliau ke formasi-formasi semenjak mengambil alih jawatan sebagai PTD Ke-28 pada 11 Jun 2020.
Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Muhammad Ab Rahman dan diberi penghormatan untuk memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).
KKU terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Mej Mohd Shaiful.
Majlis diteruskan dengan penyampaian taklimat berkaitan Operasi, Pentadbiran, Logistik serta Pelan Tindakan PMBTD terhadap pelan 3P 5T berdasarkan Perintah Ulung PTD.
Sebelum mengakhiri majlis, PTD meluangkan masa beramah mesra bersama warga PMBTD di Dewan Dato’ Jamil Ahmad dengan jumlah yang minima serta mematuhi SOP yang ditetapkan.
Turut hadir, AKS Operasi dan Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hamdan Hj Ismail dan AKS Perancangan dan Pembangunan Tentera Darat, Mej Jen Rashidin Hashimi Ab Rashid.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon