PAHANG: Tentera Darat (TD) mengaturgerakkan seramai sembilan pegawai dan 120 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) di bantu oleh Skuadron Kedua Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD) bagi membina jambatan Compact Bailey Bridge 200 di Kampung Belimbing, Maran bermula pada 12 Jan 2021.
Pembinaan jambatan sementara ini bertujuan membantu penduduk kampung setempat yang terputus hubungan akibat jambatan yang sedia ada telah runtuh kesan daripada arus deras yang menghakis tanah ketika banjir melanda kawasan tersebut.
Pegawai Memerintah 91 Rej Bantuan RAJD, Kol Muhammad Zamri Musa berkata pembinaan jambatan sepanjang 33 meter itu dilaksanakan bagi menghubungkan semula tiga lokasi di kawasan berkenaan.
“Dengan adanya jambatan ini, kita berjaya mengembirakan tiga kampung iaitu Kampung Serengkam, Kampung Sri Makmur dan Kampung Sri Jaya yang mana ianya adalah merupakan laluan utama kepada lebih 2,600 penduduk disini.
“Meskipun keadaan jalan yang sempit dan tidak rata serta berbukit, kami masih mampu melaksanakan proses pemasangan berdasarkan perancangan yang ditetapkan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, jambatan ini boleh bertahan sehingga 60 tan muatan dan penduduk tidak perlu bimbang kerana ianya selamat digunakan.
Jambatan Compact Bailey 200 adalah jambatan yang dibekalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada TD secara gunasama serta dibantu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Maran yang menyediakan kemudahan seperti jentera pembinaan.
Menurut Pengarah Logistik NADMA, Amaluddin Suib yang turut berada di lokasi, kos peralatan jambatan ini bernilai RM 3 juta dan jambatan ini merupakan jambatan kedua yang dibina di Negeri Pahang selepas jambatan pertama telah siap di kampung Lechar, Ulu Dong, Raub pada 9 Jan yang lalu.
Sementara itu, wakil penduduk, Bakri Sidek mengucapkan jutaan terima kasih kepada TD khususnya warga RAJD kerana datang dengan segera bagi membantu penduduk di sini.
“Saya bagi pihak penduduk di sini mengucapkan jutaan terima kasih kepada TD khususnya RAJD kerana datang membantu kami disini dan jasa serta budi baik tuan-tuan akan kami kenang selama-lamanya,” jelas beliau.
Pembinaan jambatan ini dijangka siap pada 14 Jan 2021 dan walaupun namanya jambatan sementara, dari aspek keselamatan serta penggunaan, ianya selamat digunakan sehingga jambatan kekal dibina.
Bantuan kepada rakyat oleh TD ini dengan kerjasama daripada NADMA dan JKR selari dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat yang memberi penekanan terhadap Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam.
Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli