KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menjelaskan tahun 2021 merupakan Tahun Pengukuhan bagi Tentera Darat (TD) yang akan menumpukan kepada aspek Gerakan, Tadbir dan Logistik agar visi dan misi TD dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Selain daripada meneruskan usaha memperolehi aset-aset strategik bagi melengkapkan keupayaan untuk beroperasi di dua wilayah secara serentak, TD akan menumpukan kepada peningkatan aspek pengurusan keselamatan termasuk menambah baik polisi serta direktif sedia ada.
“Keselamatan adalah aspek yang akan diberi perhatian sama ada berbentuk keselamatan fizikal mahupun keselamatan maklumat,” jelasnya.
PTD berkata demikian semasa menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2021 secara sidang video di Pejabat PTD pada 29 Jan 2021.
Tambah beliau lagi, TD akan memberi tumpuan bagi memperlengkapkan keperluan tempur dan peralatan persendirian anggota ke tahap 100 peratus.
“Kelengkapan persendirian ini adalah aspek penting kerana ianya merupakan elemen penting dalam pemeliharaan moral anggota bagi meningkatkan tahap kesiagaan warga TD dalam melaksanakan setiap misi.
“Selain itu, TD akan meneruskan inisiatif penstrukturan organisasi bagi meningkatkan keberkesanan operasi serta pentadbiran yang mana tumpuannya adalah menempatkan aset dan sumber manusia agar membolehkan keupayaan beroperasi secara serentak di dua wilayah,” katanya.
Terdahulu dari itu, PTD mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga TD kerana telah memberikan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan setiap pelan tindakan bagi merealisasikan Perintah Ulung PTD Ke-28 yang berasaskan Tiga Prinsip dan Lima Tonggak (3P+5T).
Beliau menjelaskan pelan-pelan tindakan yang dirangka telah menampakkan pencapaian yang positif walaupun negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.
Selain itu, PTD turut mengimbau empat pencapaian utama TD pada tahun 2020 iaitu kejayaan merealisasikan penstrukturan TD secara holistik, keberkesanan operasi yang dilaksanakan oleh TD di dalam membantu kerajaan, pemeliharaan moral warga TD melalui inisiatif kebajikan dan pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah TD.
PTD juga melahirkan rasa kesyukuran melihatkan Lima Tonggak dalam Perintah Ulungnya berada seiring dengan matlamat strategik yang digariskan oleh Menteri Kanan Pertahanan dan juga aspirasi yang ingin dicapai oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT).
Dalam amanat tersebut, PTD turut mengumumkan tema sambutan Hari TD Ke-88 iaitu Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara yang mana hubungan erat tentera dan rakyat adalah penting bagi mendukung kelima-lima Tonggak Perintah Ulung PTD Ke-28.
“Kerjasama kukuh ini akan memastikan TD mencapai kelangsungan misi dan kesiagaan, mempunyai sebuah organisasi yang utuh serta melestari aspek kebajikan dan kesejahteraan warga.
“Selain itu dapat mengukuhkan hubungan pertahanan dengan negara serantau dan antarabangsa serta memperolehi keyakinan dan pengiktirafan daripada rakyat melalui kerjasama yang dijalin,” jelasnya lagi.
Sebelum mengakhiri amanatnya, beliau menyeru agar semua warga TD terus positif dan komited agar ketumbukan ini menjadi sebuah angkatan yang disegani dan diyakini rakyat bagi menghadapi tahun 2021 yang penuh cabaran ditambah pula dengan keadaan negara yang masih dibelenggu pandemik COVID-19.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul