KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan perasmian Program Derma Darah Perdana sempena Hari Tentera Darat (HTD) Ke-88 di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Sg Besi pada 2 Mac 2021.
Program ini bertujuan untuk mendokong Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu menekankan Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam, khususnya dalam usaha membantu Pusat Darah Negara mengisi keperluan Tabung Darah Negara yang pastinya memberi manfaat kepada masyarakat.
Seramai 222 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD) dan Trup PMBTD hadir untuk menderma darah.
Kempen yang berterusan selama enam bulan ini akan dilaksanakan secara serentak oleh formasi-formasi di bawah naungan PMBTD dan Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) dengan menyasarkan 4,622 unit darah setahun bagi menyumbang 25 peratus daripada keseluruhan perolehan Tabung Darah Negara.
Aktiviti ini merupakan tanda kerjasama erat Tentera Darat (TD) dengan Pusat Darah Negara dan secara langsungnya membuktikan pengorbanan warga TD demi kepentingan masyarakat umum.
Acara dilaksanakan mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disarankan oleh pihak kerajaan walaupun dijalankan ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi