KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli berangkat ke Program Vaksinasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Kem Perdana Sg Besi pada 16 Mac 2021.
Program ini bertujuan agar imuniti kelompok dapat dibentuk dalam kalangan komuniti dan seterusnya memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
Seramai 124 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan menerima suntikan fasa pertama pada hari ini sekaligus merekodkan jumlah seramai 17,224 warga ATM yang telah menerima suntikan tersebut.
Sehingga kini, ATM telah menerima sebanyak 40,950 daripada 84,240 dos vaksin bagi 42,120 anggota untuk fasa pertama ini yang disimpan di lima Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ATM iaitu di 93 Depot Perubatan dan Pergigian Angkatan Tentera (93 DPP AT), Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT TM), 94 HAT Kem Terendak Melaka, 96 HAT Pangkalan TLDM Lumut Perak dan HAT Wilayah Kota Kinabalu Teluk Sepanggar, Sabah dan Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Kem Penrissen Kuching, Sarawak.
Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat ATM bagi fasa pertama ini terbahagi kepada Fasa 1A dan 1B yang telah bermula pada 24 Feb lalu di mana Fasa 1A yang berakhir pada 7 Mac 2021 mensasarkan semua Petugas Kesihatan dan Kumpulan Strategik ATM.
Manakala Fasa 1B yang bermula 8 Mac hingga 30 Apr 2021, mensasarkan kesemua warga ATM serta pasukan keselamatan dan penguatkuasaan lain di bawah pengoperasian National Task Force (NTF).
Terdahulu, sejurus ketibaan Baginda, acara dimulakan dengan sesi taklimat berkenaan program vaksinasi tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman sebelum taklimat diteruskan lagi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Pahlawan (Dr) Md Amin Muslan.
Selesai taklimat, Baginda turut berkenan menyaksikan proses suntikan vaksin di pusat vaksinasi ini dan telah mencerminkan keperibadian tinggi dan keprihatinan Baginda.
Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Buang TUDM dan Panglima dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan.
Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi