KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima Kunjungan Hormat daripada Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Letnan Jenderal TNI (Purn) TYT Prabowo Subianto di pejabatnya pada 28 Okt 2021.
Sebaik tiba di Dataran Wisma Pertahanan pada jam 1400, Menteri Pertahanan Republik Indonesia menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) berkekuatan seramai tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Mej Mohd Syahril Jopri.
Selesai acara KKU, beliau diperkenalkan kepada kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) sebelum diiringi ke pejabat Menteri Kanan Pertahanan.
Kunjungan tersebut bertujuan membincangkan beberapa isu bersama untuk mengeratkan hubungan diplomasi pertahanan di antara Malaysia dengan Indonesia, antaranya adalah kerjasama Pertahanan Dua Hala termasuk mengadakan kembali latihan ketenteraan bersama seperti KEKAR MALINDO dan LINUD MALINDO serta operasi bersama seperti Patrol Terkoordinasi (PATKOR) Laut dan PATKOR Udara.
Selain itu, ATM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) akan terus bekerjasama memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia menerusi pengoperasian Pos-Pos Gabungan serta latihan bersama dan kerjasama dalam menangani ancaman pengganas melalui LATGABMA MALINDO DARSASA.
Pada masa yang sama, Malaysia juga bakal menjadi tuan rumah General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) Ke-42 tahun hadapan yang merupakan platform bagi membincangkan usaha-usaha memperkukuh keselamatan sempadan antara kedua-dua negara.
Sesi lawatan diakhiri dengan Menteri Pertahanan Republik Indonesia menandatangani Buku Lawatan dan saling bertukar cendera kenangan bersama Menteri Kanan Pertahanan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abdul Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime