NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan-mantan PTD di atas kesudian hadir ke Majlis Perasmian Galeri Tentera Darat.
“Tentera Darat (TD) amat menyanjung tinggi jasa mantan-mantan PTD yang telah berusaha gigih membentuk dan membina asas-asas kukuh membolehkan ketumbukan ini berkembang maju mengikut peredaran masa.
“Melalui usaha mereka, TD dapat menunaikan setiap amanah yang disandarkan oleh masyarakat dan negara terhadap organisasi pertahanan ini.
“Namun, tanpa daya kepimpinan serta cetusan idea bernas daripada mereka, kita mungkin tidak mampu berdiri sama tinggi dengan TD luar negara.
“Pengorbanan pemimpin-pemimpin ini wajar dikenang serta diabadikan untuk tatapan generasi kini dan akan datang, maka dengan ini tercetuslah idea penubuhan sebuah galeri yang dapat memberi gambaran menyeluruh tentang sumbangan mantan-mantan PTD untuk tatapan rakyat Malaysia,” jelasnya.
PTD berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Galeri PTD bertempat di Muzium Tentera Darat, Port Dickson pada 13 Dis 2021.
“Saya mencadangkan agar Galeri PTD ini disenaraikan sebagai salah satu destinasi utama lawatan pegawai muda di dalam kursus induksi agar ketokohan serta cerminan nilai-nilai unggul kepimpinan mantan PTD dapat dicontohi,” ujar PTD.
Tambah beliau lagi, usaha awal menubuhkan galeri PTD ini adalah bermula daripada hasrat mantan PTD Ke-25, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (B) untuk menyimpan dan mempamerkan koleksi milik mantan-mantan PTD.
Majlis diteruskan dengan simbolik acara perasmian di mana PTD dan mantan-mantan PTD meletakkan tangan di atas Palm Scanner sebagai gimik pelancaran dan kemudian hadirin dipertontonkan dengan tayangan montaj Galeri PTD.
Sebagai tanda memeterai perasmian galeri, PTD bersama mantan-mantan menandatangani plat perasmian di mana plat ini kemudian dilekatkan di bawah gambar masing-masing.
Galeri ini adalah sebuah tempat bagi mempamerkan sejarah, pencapaian, pahit getir mantan-mantan PTD yang berjuang dan mengorbankan seluruh jiwa raga semasa mereka masih berkhidmat di dalam TD.
Selain itu, Galeri PTD juga memaparkan biografi kesemua 28 PTD bermula sewaktu menceburkan diri dalam perkhidmatan tentera, watikah pelantikan, pengalaman sepanjang perkhidmatan, perintah ulung semasa menjadi PTD serta koleksi peribadi seperti pakaian seragam, pingat-pingat, darjah kebesaran, buku-buku yang dihadiahkan dan cendera kenangan.
Majlis pelancaran pada hari ini dihadiri seramai 14 mantan PTD manakala 10 orang mantan PTD diwakili oleh wakil atau waris masing-masing dan majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh PTD.
Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany merupakan waris kepada mantan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Allahyarham Jen Tan Sri Mohamad Sany Abdul Ghafar yang meninggal dunia pada Ogos 2015 turut diberi penghormatan untuk menandatangai plat bagi pihak ayahnya yang merupakan mantan PTD Keenam.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Mohammad.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, dan Riffat Mohd Yusof.