KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyatakan pelancaran buku May 13,1969: Racial Riots A Security Perspective amat bermakna dalam usaha merakamkan detik-detik bersejarah iaitu mencorakkan geo-politik dan geo-sosial negara untuk tatapan generasi kini serta masa hadapan.
“Sejarah merupakan guru terbaik untuk mengajar kita dalam mengambil segala langkah bagi mengelakkan berulangnya insiden-insiden buruk yang berlaku di persekitaran kita.
“Selaku ketumbukan yang menjaga kedaulatan negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat (TD) amat menghargai pengalaman-pengalaman lalu untuk dijadikan panduan dan pengajaran supaya melangkah dengan cermat ke hadapan.
“Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam lipatan sejarah negara yang telah mencalarkan keharmonian hubungan antara kaum.
“Mujurlah penglibatan aktif pihak berkuasa termasuk TD berjaya mengawal dan mententeramkan keadaan menjadi normal.
“Peristiwa ini perlu direkod serta dibukukan agar iktibar dapat diambil dan dijadikan panduan terutamanya hubungan antara kaum yang terdiri daripada pelbagai latar belakang berbeza,” jelasnya.
PTD berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Buku May 13,1969: Racial Riots A Security Perspective bertempat di Wisma Perwira Tentera Darat pada 16 Dis 2021.
Buku May 13,1969: Racial Riots A Security Perspective dihasilkan oleh Mej Jen Dato’ Dr Nordin Yusof PHD (B) merupakan satu usaha murni yang dilaksanakan untuk mendokumenkan catatan sejarah berkaitan rusuhan tersebut.
Ia juga telah menggariskan pengajaran yang boleh diambil daripada tragedi tersebut di mana buku ini menceritakan penglibatan TD amnya dan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) khasnya dalam menangani tragedi rusuhan kaum pada tanggal 13 Mei 1969.
Majlis diteruskan dengan simbolik acara pelancaran di mana PTD meletakkan tangan di atas globe sebagai gimik perasmian.
Turut hadir, mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dan Presiden Kelab Pegawai RAMD, Brig Jen Dato’ Ahmad Zaki Mahmud (B).
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime