KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyatakan pelancaran buku Sasaranku Langit: Falsafah Hidup Sang Perwira hasil karya Mantan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Amir Baharudin (B) atau lebih dikenali sebagai Dato’ Amir Guntur ini amat penting diperkenalkan sebagai rujukan pada masa kini dan masa akan datang.
“Nama Amir Guntur sememangnya tidak asing lagi kepada warga Tentera Darat (TD) khususnya kepada mereka yang mendapat asuhan langsung daripada mantan pegawai kanan TD yang amat terampil lagi berwibawa ini.
“Mengambil kira keberkesanan pendekatan latihan yang diamalkan beliau, saya merasa amat perlu untuk pengalaman dan buah fikiran Mej Jen Dato’ Amir Baharudin (B) ini didokumentasikan kerana pengalaman yang ditempuhi sepanjang perkhidmatan adalah terlalu berharga jika dibiarkan hilang begitu sahaja ditelan zaman,” jelasnya.
PTD berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Buku Sasaranku Langit bertempat di Wisma Perwira Tentera Darat pada 17 Dis 2021.
Buku ini menceritakan pendekatan latihan yang digunakan oleh beliau sepanjang berkhidmat dalam tentera untuk meningkatkan kebolehan dan keupayaan TD.
Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Sasaranku Langit sebagai simbolik acara pelancaran dan kemudian seorang wakil menghantar buku sambil menunggang kuda sebagai gimik perasmian.
Turut hadir, mantan-mantan Panglima Angkatan Tentera, mantan-mantan Panglima Tentera Darat dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Mohammad Ab Rahman.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi.