KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh peringkat pemerintahan dan warga Tentera Darat (TD) kerana menunjukkan komitmen dan kesungguhan untuk merealisasikan Perintah Ulung PTD Ke-28 merangkumi Tiga Prinsip dan Lima Tonggak (3P + 5T) yang dijadikan panduan oleh warga TD bagi mencapai visi dan misi.
“Berdasarkan penilaian semasa, beberapa fokus telah ditetapkan untuk dilaksanakan pada tahun 2022 di mana fokus utama adalah dari segi kesejahteraan dan kebajikan warga TD, iaitu salah satunya menambah pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang akan memberikan manfaat kepada 1,031 keluarga TD.
“Kesejahteraan Keluarga TD Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin telah dipilih sebagai tema HTD Ke-89 kerana ia merupakan faktor moral serta semangat untuk warga TD melaksanakan tugas,” jelas PTD.
PTD berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-89 di Wisma Perwira TD pada 21 Feb 2022.
“Panglima Angkatan Tentera (PAT) menggariskan tiga keutamaan yang akan dilaksanakan oleh ATM pada tahun 2022 dengan memberikan keutamaan kepada pelaksanaan empat teras utama iaitu Memperkasakan Kesiagaan ATM, Memperkasakan Warga ATM Yang Cemerlang, Mengukuhkan Keupayaan ATM Dalam Domain Siber dan Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan,” jelasnya.
Tambah PTD lagi, TD berada di landasan yang tepat bagi mencapai amanat dan aspirasi yang dizahirkan oleh pihak atasan di mana perancangan serta tindakan yang dilaksanakan oleh TD selari dengan plan strategik Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) serta Kertas Putih Pertahanan.
“Perolehan aset-aset penting seperti enam Mini Unmanned Aerial Vehicle, 378 buah Motorsikal scrambler 250cc, 27 buah All Terrain Vehicle (ATV) 250cc, 63 Trak satu Tan GS Cargo dan Fast Interceptor Craft-Rigid Hull Inflatable Boat juga berjaya meningkatkan kuasa tembakan melalui perolehan tahun 2021 yang telah diagihkan kepada pasukan-pasukan untuk melaksanakan misi.
“Fokus yang kedua adalah meneruskan usaha meningkatkan kesiagaan dan keupayaan TD dengan pemerolehan aset-aset berpandukan pelan jangka panjang Army4NextG.
“Fokus ketiga merupakan penstrukturan dan penyusunan organisasi TD melalui usaha memperkasakan Chain Of Command dan menyeimbangkan kekuatan aset dengan sumber manusia mengikut nisbah two third one third,” ujar PTD.
PTD turut menekankan mengenai kepentingan fokus keempat, iaitu pemerkasaan tadbir urus dan perbelanjaan berhemah bertujuan menghasilkan tadbir urus yang cekap dan berintegriti bagi mencapai sasaran zero negative comments terhadap pengurusan organisasi.
“Fokus kelima adalah meningkatkan diplomasi pertahanan dengan kerjasama di peringkat KEMENTAH atau ATM serta menggunakan setiap platform dan mekanisme yang ada untuk menjalinkan hubungan dengan negara-negara yang berkepentingan.
“Akhir sekali, fokus yang keenam ialah komitmen membantu kerajaan dalam Military Operation Other Than War iaitu menangani krisis berbentuk pandemik atau bencana alam melalui kerjasama dengan kerajaan atau agensi awam,” jelas PTD.
Tambah PTD lagi, setiap apa yang dihasratkan sudah tentu akan datang cabaran terutamanya dari segi persekitaran ekonomi yang tidak menentu disebabkan pandemik COVID-19.
Selain itu, TD juga berhadapan cabaran berkaitan kompentensi sumber manusia agar seiring dengan pemodenan organisasi dan perubahan teknologi, di mana pengisian sumber manusia yang berkemahiran amat penting supaya TD dapat terus bergerak selari dengan perkembangan sains dan teknologi.
Cabaran seterusnya adalah dari segi keyakinan rakyat terhadap TD ekoran kepesatan penyebaran maklumat yang pantas dan menuntut TD untuk berusaha meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat termasuk melalui media sosial.
Tambah PTD lagi, setiap apa yang dihasratkan sudah tentu akan datang cabaran terutamanya bersabit ancaman masa kini seperti bencana alam dan penularan virus, oleh itu TD perlu sentiasa berwaspada dan bersedia supaya bantuan kepada rakyat dapat diteruskan.
Beliau mengakhiri amanat dengan menyeru agar seluruh warga TD di setiap peringkat pemerintahan memberikan kerjasama bagi memastikan segala perancangan tahun 2022 dapat dicapai.
Majlis diteruskan dengan Penyampaian Skrol Amanat PTD kepada Panglima-Panglima Formasi dan siaran lintas langsung dari 12 lokasi penempatan TD di seluruh negara.
PTD kemudian melancarkan MyQuran TD yang mempunyai ciri mengukur skala bacaan Al-Quran individu dan Buku Fiqh Askari untuk memberi panduan kepada warga TD bagi mengerjakan ibadah semasa latihan serta operasi.
Acara diakhiri dengan Perasmian Penyerahan Motorsikal Penguatkuasa Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) sebanyak 10 buah motorsikal berkuasa tinggi.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan LKpl Zulkarnain Maxmillan Abdullah