KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Sempena Hari Tentera Darat (HTD) Ke-89 anjuran Markas Tentera Darat (MK TD) – Cawangan Perisikan di ruang legar Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 28 Feb 2022.
Objektif utama pameran ini dilaksanakan bertujuan mengingatkan warga lokaliti KEMENTAH sama ada kakitangan awam mahupun anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan anggota Tentera Darat (TD) khususnya mengenai tarikh penting 1 Mac 1933 untuk dihargai.
Terdahulu, ketibaan PTD di perkarangan KEMENTAH disambut oleh Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur lalu menyempurnakan gimik pelancaran yang memaparkan beberapa imej tiga dimensi (3D) menggunakan teknologi holografik sejajar dengan perkembangan teknologi semasa negara.
Seterusnya, PTD diberi taklimat secara walking brief oleh AKS Perisikan sambil beliau meninjau galeri pameran di ruang legar KEMENTAH sebelum diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati.
Aktiviti yang berlangsung selama tiga hari mulai 28 Feb hingga 2 Mac 2022 merupakan kolaborasi di antara Berita Tentera Darat Malaysia (BTDM) dengan TD yang memaparkan pelbagai bahan pameran berbentuk infografik dan artifak seperti Sejarah Penubuhan TD, Transformasi Pakaian dan Kelengkapan TD, perkembangan Army4NextG, Transformasi BTDM, termasuk penyediaan photo booth serta pemberian cenderahati kepada pengunjung.
Pelaksanaan program ini sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.
Gambar: Saifun Hakimi Zainon, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Riffat Mohd Yusuf