KUALA LUMPUR: Penganjuran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2022 turut membawa manfaat dari segi hubungan dan kerjasama perisikan dua hala antara Tentera Darat Malaysia dan Tentera Darat Cambodia.
Ini dibuktikan apabila Asisten Ketua Staf Perisikan Markas Tentera Darat, Mej Jen Datuk Hamzah Haji Ali menerima Kunjungan Hormat rakan sejawatan beliau iaitu Brig Gen Meas Sophearith, yang merupakan Chief of 2ème Bureau, Royal Cambodian Army bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada 31 Mac 2022.
Kunjungan Hormat ini bertujuan membincangkan lebih lanjut beberapa perkara yang telah dikemukakan oleh delegasi Cambodia semasa pertemuan dengan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.
Antara perkara perbincangan ialah mengenai perancangan lanjut bagi mengadakan beberapa bentuk kerjasama dua hala antara Malaysia dan Cambodia seperti forum Army to Army Talk, latihan bilateral serta perkongsian kepakaran aspek peperangan elektronik, siber dan Unmanned Aerial System (UAS).
Turut hadir Pengarah Kor Risik Diraja, Brig Jen Johari Ismail dan Penasihat Pertahanan Cambodia di Malaysia, Lt Col Pen Narong.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul