KUALA LUMPUR: Perdana Menteri (PM), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tentera Darat (TD) yang diadakan di Dataran Panglima Tentera Darat (PTD), Kem Perdana Sungai Besi pada 21 Mei 2022.
Terdahulu, ketibaan PM disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan PTD, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, lalu beliau menyempurnakan gimik perasmian Majlis Rumah Terbuka TD Tahun 2022 dengan menghidupkan suis lampu.
Kemudian, PM dijemput menjamu hidangan yang disediakan sambil dipertontonkan dengan persembahan daripada Badan Kesenian Tentera Darat dan tayangan video rakaman ucapan aidilfitri dari anggota yang terlibat operasi di perbatasan.
Majlis Rumah Terbuka TD pada tahun ini bertemakan ‘Rumah Terbuka Kembali ke Desa’ yang mempamerkan replika rumah tradisional daripada pelbagai negeri dan menyediakan pelbagai juadah tradisional untuk santapan para tetamu.
Selain itu, PM turut mengunjungi rumah-rumah tradisional dan beramah mesra dengan warga TD sebelum menyempurnakan penyampaian sumbangan duit raya kepada anak-anak warga TD yang hadir dalam majlis ini.
Majlis yang dihadiri lebih 5,000 orang pengunjung dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelawak terkenal Wahid Senario dan pelbagai aktiviti menarik seperti hiburan keluarga, sukaneka kanak-kanak, pertandingan hiasan rumah tradisional paling cantik serta pakaian paling awesome.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.
Gambar: LKpl Zulkarnain Maxmillan Abdullah