KUALA LUMPUR: “Sebagai bekas Menteri Kanan Pertahanan, sudah tentu saya sangat prihatin dan sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga kerja Pertahanan terpelihara, malah isu berkaitan perumahan tuan-tuan dan puan-puan sentiasa dekat di hati saya,” kata Perdana Menteri (PM), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 13 Jul 2022.
PM telah melancarkan Pelan Induk Perumahan MINDEF yang dihadiri hampir 1,000 anggota dan Veteran ATM yang bertujuan untuk menyelaras semua program perumahan bagi memberi manfaat serta meningkatkan kualiti hidup kepada lebih 200,000 warga dan veteran ATM di mana pada masa sama keselamatan dan kebajikan mereka ini dijaga dengan baik.
Sebanyak lima fasa telah dirancang dalam Blueprint Perumahan 3.0 yang akan menumpukan kepada penyediaan 12,733 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) yang bermula 2023 hingga 2030 bagi meneruskan kesinambungan Blueprint Perumahan 1.0 dan Blueprint Perumahan 2.0.
Selain itu, agenda perumahan ini juga memuatkan program RKMAT, Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), serta perumahan mampu milik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta program-program pembaikan serta pembinaan rumah veteran ATM.
“Di bawah program selenggara dan naik taraf, sasaran 80 peratus daripada 7,292 unit RKMAT sedia ada akan dinaik taraf termasuk pengubahsuaian daripada dua unit kepada satu unit selain menggantikan perabot lama yang rosak dengan perabot yang baharu.
“Selain itu, di bawah program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, sebanyak 1,700 unit akan dibina demi kesejahteraan veteran ATM di seluruh negara dan pada masa yang sama lebih banyak rumah akan diselenggara dengan nisbah sasarannya satu unit baru dibina, empat unit akan dinaik taraf,” kata PM.
Tambahnya lagi, bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung kerajaan, kaedah perolehan secara penswastaan seperti ‘bina-pajak-senggara-pindah’ (BLMT) atau Landswap akan dipertimbangkan bagi mencapai objektif perlaksanaannya.
Terdahulu, ketibaan PM disambut Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain lalu dibawa melawat ke kawasan pameran yang mempamerkan pelaksanaan Blueprint Perumahan 1.0 dan Blueprint Perumahan 2.0.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.