PERAK: Panglima Logistik Tentera Darat (TD) merangkap Pengerusi Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Mej Jen Dato’ Hj Abdul Aziz Samsi @ Hj Shamsudin menyeru semua anggota KPD mengimbas kembali pencapaian kor berdasarkan lima tonggak yang ditetapkan oleh Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-28 bagi mencapai misi dan objektif sebagai salah satu kor logistik.
“Dalam Tonggak Pertama iaitu Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan, beberapa perolehan aset baharu telah diterima dan diagihkan kepada pasukan-pasukan TD sekali gus meningkatkan keupayaan serta kesiagaan pasukan KPD dalam mendukung bantuan logistik kepada TD dengan lebih efisien dan efektif.
“Bagi Tonggak Kedua iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi, program yang dikenali sebagai Seventy Two to Twenty Eight (72 to 28) merupakan salah satu proses memperkemaskan organisasi KPD bersesuaian dengan keperluan kumpulan logistik divisyen dan briged seperti mana termaktub dalam Blueprint RSC Next 2.0.
“Selain itu, latihan yang berterusan untuk pegawai dan anggota turut dilaksanakan melalui kursus-kursus kerjaya dan fungsional bagi memastikan peningkatan tahap profesionalisme dari masa ke semasa.
“Setiap pemerintah dan staf juga perlu mengamalkan budaya integriti, nilai etika dan moral dalam organisasi supaya sistem tadbir urus yang telus dan teratur dapat dipraktikkan,” jelas Pengerusi KPD.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) Ke-65 di Padang Kawad Pusat Latihan Kor Perkhidmatan (PULMAT) pada 15 Jul 2022.
Perbarisan HUT berkonsep statik ini terdiri daripada empat detasmen berkekuatan seramai 15 pegawai dan 197 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Rosli Abdul Hamid dari Briged Ke-10 (Para) (10 Bgd (Para)) dan diiringi Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja.
Tambah beliau lagi, kor ini sentiasa prihatin serta memantau perkembangan pegawai, anggota, veteran dan pesara secara keseluruhannya terjaga dan terpelihara dalam merealisasikan Tonggak Ketiga iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.
“Saya ingin menggalakkan semua pemerintah untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti sukan di peringkat pasukan masing-masing sesuai dengan penekanan gaya hidup sihat.
“Di samping itu, KPD turut terlibat secara langsung dalam penghantaran pegawai dan anggota menyertai misi di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha mendukung Tonggak Keempat iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan.
“Seterusnya, kor ini juga terlibat secara langsung membantu TD dalam Operasi PENAWAR yang dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 seiring dengan Tonggak Kelima iaitu Peningkatan Hubungan TD Dengan Awam.
“Bukan itu sahaja, warga KPD turut terbabit dalam Projek Jiwa Murni (PJM) bagi membantu orang awam dan juga Operasi MURNI melibatkan penyediaan sajian serta pengangkutan kepada mangsa-mangsa banjir,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri ucapan, Pengerusi KPD menyeru kepada warganya untuk memberikan kerjasama yang jitu bagi memartabatkan nama baik KPD seiring atau lebih tinggi dari kor dan rejimen yang lain dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Turut hadir, Pengarah KPD, Brig Jen Abdul Aziz Abu Hassan dan Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik Markas Pemerintahan Medan Barat, Brig Jen Abdul Hafiz Ahmad.
Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi dan Riffat Mohd Yusof