KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli mendengar Khutbah Khas dan menunaikan Solat Jumaat Sempena Hari Pahlawan Tahun 2022 di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 29 Jul 2022.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda di perkarangan masjid disambut oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad serta Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.
Seterusnya, Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Hj Mohd Rashidi Bujai menyampaikan Khutbah Khas yang bertajuk Segagah Khalid Al-Walid sempena sambutan Hari Pahlawan Negara dan Maal Hijrah 1444.
Dalam khutbah tersebut, mimbar menekankan aspek menjaga kedaulatan negara dan mengupas sifat keberanian serta pengorbanan pahlawan demi memastikan sesebuah negara terus kekal berdaulat.
“Keberanian, kesetiaan dan keikhlasan Khalid Al-Walid patut menjadi contoh dalam menerapkan semangat kepahlawanan dalam diri.
“Selain itu, perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat yang tercatat dalam peristiwa hijrah merupakan teladan dan pengajaran terbaik untuk kita membentuk sebuah Keluarga Malaysia yang memangkin kemakmuran negara,” ujar mimbar.
Sejurus selesai bacaan khutbah, Solat Jumaat diimamkan oleh Lt Kol Hj Mohd Nizam Dato’ Hj Termizi Al-Hafiz dengan penglibatan jemaah dari kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Gambar: Riffat Mohd Yusoff