Tidak keterlauan untuk dikatakan bahawa ramai dalam kalangan anggota tentera kita yang tidak mengetahui dengan jelas tugas serta peranan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD). Lazimnya pada masa ini, RAJD lebih sinonim dengan Projek Jiwa Murni (PJM) seperti pembinaan atau membaik pulih jambatan dan jalan raya, pembinaan kediaman/bangunan dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT). Namun hakikatnya, anggota RAJD merupakan penyumbang kepada kejayaan sesuatu operasi di mana pada ketika zaman penentangan komunis di Tanah Melayu, RAJD terlibat secara aktif dalam operasi-operasi yang dilancarkan oleh Tentera Darat (TD) di mana sebahagian anggota RAJD menjadi barisan hadapan ketika melakukan rondaan sebelum disusuli oleh anggota infantri.
PW II Rosli Mohamad (B) merupakan seorang bekas anggota Tim Pembersih Jerangkap Samar (TPJS) di mana jasa serta pengorbanan yang dicurahkan oleh beliau tidak mungkin dapat ditukar ganti dengan wang ringgit. Mungkin semangat keberanian dan kekentalan beliau sukar dicari ganti dalam kalangan generasi baharu sekarang.
Beliau merupakan antara anggota RAJD yang dikategorikan tahap kesihatannya sebagai Base Everywhere/ Line of Communication Everywhere (BE/LE) setelah disahkan hilang penglihatan mata kanan pada awal kerjaya akibat terkena jerangkap samar pengganas komunis ketika ditugaskan membuat route clearance dalam satu operasi di Gubir pada tahun 1988. Untuk mengikuti lebih lanjut pengalaman pahit dan manis ketika bergelar seorang anggota tentera, ikuti wawancara khas yang dilaksanakan oleh wartawan Berita Tentera Darat Malaysia (BTDM), Pbt Mohammad Shukri Suhaimi bersama jurugambar BTDM, SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly.
Rosli dilahirkan pada 22 Jan 1964 di Tronoh Mines, Perak dan mula bekerja sebagai operator di sebuah kilang pembuatan kain di Kamunting setelah menamatkan pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani, Bidor, Perak. Beliau merupakan anak sulung daripada dua beradik berkata, “dari kecil lagi saya memang meminati askar serta badan beruniform yang lain,”. Ini kerana pada ketika itu Rosli gemar menonton rancangan televisyen berkisarkan
pertempuran dan peperangan. Maka tidak hairanlah dari situ timbulnya minat untuk menyertai tentera.
Pada suatu hari, beliau terlihat keratan iklan Pengambilan Perajurit TD dalam akhbar lalu nekad untuk mencuba nasib bagi mencapai cita-citanya. “Ini adalah peluang yang aku tunggu-tunggu selama ini. Dan tidak seharusnya aku melepaskan rezeki di depan mata,” ujarnya di dalam hati. Sebelum itu, Rosli pernah memohon untuk menyertai polis dan bomba namun rezeki tidak menyebelahinya.
Berkat doa ibu bapa dan kesungguhan yang ditunjukkan, akhirnya Rosli lulus kesemua ujian sekaligus melayakkan dirinya menjalani latihan ketenteraan selama enam bulan mulai Sep 1984 hingga Mac 1985 di Pusat Latihan Rekrut, Port Dickson yang kini dikenali sebagai Pusat Asas Latihan Tentera Darat (PUSASDA). Tamat latihan rekrut, beliau melapor di Skuadron Kelima Rejimen Askar Jurutera Diraja (5 Skn RAJD) yang pada ketika itu berpangkalan di Kem Sangro, Taiping, Perak.
Disebabkan usia muda dan masih baru dalam alam ketenteraan, Rosli dan rakan-rakannya sering diaturgerak dalam membantu anggota infantri ketika mereka menjalankan operasi di hutan seperti memusnah bom, membersih kawasan periuk api dan menyediakan bekalan air. Antara operasi yang pernah beliau terlibat ialah Op PAGAR, Op UKUR, Op KOTA CHARLIE dan Op BELUM. Namun, Rosli tidak pernah terserempak dengan pihak komunis selama penglibatannya dalam beberapa siri operasi.
Kebiasaannya, mereka kerap terserempak dengan warga Thailand yang melakukan aktiviti penyeludupan kayu gaharu untuk membuat minyak wangi. Pendatang-pendatang asing yang ditahan kemudiannya diserahkan kepada pihak Pegawai Perisikan Tentera (PPT) Negeri atau Military Intelligence Officer (MIO) untuk melakukan soal siasat sebelum diserahkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Namun, nasib tidak menyebelahi Rosli apabila matanya mengalami kecederaan serius ketika ditugaskan mengesan dan membersihkan jerangkap samar dalam Operasi KOTA CHARLIE di Gubir pada tahun 1988. Peristiwa hitam itu berlaku ketika beliau dan dua rakannya berpangkat Sapper (Spr) diarahkan untuk membuat Ronda Kumpulan Kecil (RKK) bersama sembilan anggota Komp Bravo dari Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) di bawah kelolaan Pegawai Pemerintah iaitu Mej Zaki.
“Kerana jauh berjalan dan maklum sajalah tugas route clearance dengan prosedur membersih menggunakan mine detector memakan masa yang lama. Tepat jam 12 tengah hari, kami sampai di satu permatang yang sangat cantik. Pada masa itu, saya tiba-tiba rasa tidak sedap hati disebabkan malam sebelumnya walaupun hujan tetapi bulan tetap kelihatan terang seperti biasa. Hammock saya pula seperti ditarik-tarik oleh sesuatu,” jelas Rosli. Tetapi beliau menganggap mungkin itu hanyalah perasaannya sahaja. Mereka pun berehat di atas kawasan permatang yang cantik tersebut untuk makan tengah hari.
Sedang asyik melihat panorama yang cantik, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan satu bunyi letupan yang sangat kuat. Rupa-rupanya ia berpunca daripada tindakan salah seorang anggota 16 RAMD yang sedang menarik pokok Tongkat Ali terpijak jerangkap samar musuh berhampiran kawasan berkenaan. Rosli berkata anggota tersebut memang mempunyai hobi mencari pokok Tongkat Ali apabila melaksanakan operasi di kawasan hutan.
Anggota malang tersebut meraung kesakitan dan terbaring dengan keadaan kaki kanannya terkulai berlumuran darah. Anggota 16 RAMD yang lain segera menghulurkan bantuan menarik anggota cedera tersebut ke dalam kawasan selamat lantas diberikan suntikan morfin sebelum dibalut dengan bandage bagi menghentikan pengaliran darah.
Rosli dan anggota TPJS yang lain segera mengambil kedudukan membuat clearance, manakala sebahagian anggota lain walaupun masih terkejut terus serta-merta melakukan per tahanan di tempat masing-masing.
Sebanyak tiga suis jerangkap samar berjaya dinyahaktif di kawasan tersebut. Namun begitu, salah seorang anggota RAJD tersalah langkah apabila terpijak suis jerangkap samar keempat yang mana bahan letupannya betul-betul ditanam beberapa inci di hadapan Rosli. Menurut firasat Rosli mungkin disebabkan waktu tengah hari terlalu terik pada ketika itu dan tekanan akibat letupan pertama tadi masih lagi menyelubungi, maka mereka hilang tumpuan. Letupan kedua ini lebih kuat seperti bunyi tembakan meriam menyelubungi sekeliling kawasan dan mengakibatkan keadaan menjadi haru-biru.
“Saya yang berada paling hampir dengan jerangkap samar tersebut terkena serpihan letupan besar. Ketika itu saya merasakan kemungkinan sudah kehilangan lengan disebabkan sakit yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Pada waktu yang sama, mata terkebil-kebil tidak dapat melihat kerana banyak pasir memasuki mata. Saya menguis-nguis menggunakan tangan untuk membuang benda asing yang termasuk ke dalam mata,” kata Rosli dengan nada yang sebak.
“Saya turut diberikan rawatan. Mata saya terpaksa dibalut menggunakan field dressing disebabkan faktor kekurangan kelengkapan perubatan yang bersesuaian untuk mencuci. Saya bertanya kepada salah seorang rakan, adakah tangan saya terputus. Rupanya tidak putus tetapi rakan saya memberitahu lengan saya terkoyak teruk,” ujar Rosli.
Setelah itu, mereka menunggu bantuan tiba kerana jarak dari kawasan kejadian ke Markas Taktikal terlalu jauh. Markas RAJD pula mengeluarkan arahan hanya
membenarkan pergerakan di dalam hutan mulai jam 0800 hingga 1600 atas faktor keselamatan kerana jam 1700 ke atas keadaan di dalam hutan mulai gelap dan pergerakan terbatas. Anggota infantri terpaksa mematuhi arahan tersebut kerana mereka merupakan anggota di barisan paling hadapan ketika melakukan rondaan bagi mencari dan mengesan jerangkap samar.
Helikopter yang membawa bantuan tiba agak lambat sekitar jam 1700. Helikopter menurunkan anggota cedera di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Kem Gubir terlebih dahulu bagi melakukan rawatan mencuci bahagian luka sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang pada jam 0200 bagi menerima rawatan selanjutnya. Setelah dua minggu menerima rawatan, keupayaan penglihatan mata Rosli merosot di mana beliau melihat semua objek berwarna merah. Kemudian beliau ditukarkan ke Hospital Alor Setar Lama untuk meneruskan rawatan.
Doktor Pakar Mata memaklumkan terdapat serpihan kecil di dalam mata sebelah kanan menyebabkan imej objek yang dilihat berwarna merah dan melakukan pembedahan membuang selaput yang terdapat pada anak mata. Namun akhirnya usaha tersebut menemui kegagalan apabila Rosli kehilangan penglihatan dan disahkan taraf kesihatan LE oleh doktor.
Selepas mengalami kecacatan kekal, Rosli tetap meneruskan tugas sebagai anggota tentera. Beliau ditukarkan ke 91 Rejimen Pembinaan Jurutera di Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur dan diberi tanggung jawab sebagai penyelia stor pasukan. Walaupun berstatus LE, Rosli tetap positif untuk mempertingkatkan pencapaian diri dalam perkhidmatan sehingga berjaya mendapat kenaikan pangkat ke PW II. Bagi Rosli, menamatkan perkhidmatan sebagai PW II merupakan satu kebanggaan serta pengiktirafan untuk dirinya kerana jarang berlaku kepada anggota tentera yang tergolong dalam senarai LE menamatkan perkhidmatan pada tahap pangkat yang agak tinggi.
Setelah berpencen, Rosli kini telahpun 11 tahun berkecimpung dalam industri pembuatan, pemasangan dan pengedaran automotif dalam Syarikat DRB-HICOM Bhd sebagai Pembantu Penyelia. Di samping itu, beliau turut memanfaatkan ilmu masakan yang dipelajarinya semasa Kursus Peralihan sebelum bersara bagi membantu isterinya, berniaga nasi lemak. Rosli dikurniakan enam orang cahaya mata serta mempunyai seorang anak angkat dan empat cucu hasil perkahwinan beliau dengan Haslinda Ismail, 50 pada 26 Dis 1988.
Sebelum mengakhiri perbualan, Rosli berpesan kepada generasi muda agar menjauhi gejala yang memudaratkan diri dan perkhidmatan seperti menyalahguna dadah, meminjam Ceti Haram dan sebagainya. “HARGAI DAN SAYANGILAH PERKHIDMATAN, KERJALAH SAMPAI PENCEN!!,” tegas Rosli.