NEGERI SEMBILAN: Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pasukan Tentera Forensik Arkeologi Malaysia-Amerika Syarikat telah berlangsung di Auditorium Muzium Tentera Darat, Port Dickson pada 4 Ogos 2022.
Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Pertahanan Malaysia, Dato’ Sri Muez Abdul Aziz dan Duta Besar Amerika Syarikat (AS), TYT Brian D. Mcfeeters menandatangani MoU tersebut yang disaksikan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.
MoU ini dimeterai bertujuan menjalankan aktiviti kolaborasi dalam aspek penyelidikan, penyiasatan serta repatriasi spesimen mayat anggota tentera AS yang terkorban atau hilang di Malaysia ketika Perang Dunia Ke-2.
Usaha yang dijangka mengambil masa selama lima tahun ini bakal menyaksikan pelbagai bentuk kerjasama bagi merealisasi objektif berkaitan iaitu Sidang Kemuncak Saintifik, Ulasan Forensik Bersama, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama, Tinjauan Serpihan Pesawat Udara, Operasi Pemulihan dan Operasi Pemindahan.
Program ini selaras dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi, Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia, Brig Jen Mohd Saifulisham Hj Baharun dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan, ATM dan lain-lain agensi berkaitan.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime