KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia serta Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion (MALBATT) 850-10 bertempat di Pangkalan Udara Subang pada 27 Okt 2022.
MALBATT 850-10 yang akan diatur gerak dalam empat peringkat menampilkan kekuatan seramai 854 orang terdiri daripada 83 pegawai dan 770 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk seorang pegawai awam dari Kementerian Pertahanan bagi meneruskan Misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL di Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin.
Seramai 30 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan turut menyertai MALBATT 850-10.
Perbarisan Kumpulan Pertama MALBATT 850-10 ini dianggotai oleh 49 pegawai dan 165 anggota LLP diketuai oleh Komander MALBATT 850-10, Kol Mohd Rizman Hj Ramli.
Dalam ucapan Menteri Kanan Pertahanan, beliau mengingatkan anggota MALBATT 850-10 supaya menjaga keselamatan diri dan pada masa yang sama memelihara tahap disiplin agar dapat mengekalkan imej baik ATM sejak penglibatan pada tahun 2007.
“Penglibatan berterusan ini bukan sahaja membuktikan ATM sentiasa bersedia dan bersiapsiaga untuk mengaturgerak sumber manusia bagi memenuhi keperluan penugasan di luar tanah air, malah mencerminkan pengiktirafan dunia terhadap keupayaan serta kepakaran ATM dalam melaksanakan misi-misi pengaman,” tegasnya.
Penglibatan ATM dalam misi antarabangsa seumpama ini sejajar dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai kanan ATM dan ABDB.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Tuan Muhammad Farizal Tuan Dir