PAHANG: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain diiringi Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mej Jen Zambery Jefry Hj Darus melakukan Lawatan Kebajikan sempena Program Di Celah-Celah Kehidupan anjuran Syarikat BHPetrol di Raub pada 28 Jan 2023.
Sebanyak dua buah rumah telah dilawati oleh PTD dimulai dengan rumah veteran Kor Kesihatan Diraja tidak berpencen iaitu Khalil Ahmad berumur 77 tahun yang mengalami masalah darah tinggi dan kolesterol manakala isteri beliau turut mengalami masalah darah tinggi serta terlantar disebabkan serangan angin ahmar pada Jun 2018.
Kini, pendapatan beliau hanya bergantung kepada hasil jualan tebu telur yang diusahakan sendiri secara kecil-kecilan selain menerima bantuan Sara Hidup JHEV ATM berjumlah RM300 sebulan serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada anak beliau yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak RM300 sebulan.
Program diteruskan dengan menyantuni veteran Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) iaitu Saharudin Sidek yang mengalami masalah darah tinggi dan sakit sendi serta diikuti isteri beliau yang turut mengalami masalah darah tinggi dan kencing manis.
Sumber pendapatan beliau kini bergantung kepada hasil jualan sayur-sayuran di Pekan Sari sambil dibantu oleh isteri dan anak.
Pelaksanaan aktiviti seumpama ini sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam.
Turut hadir, Asisten Ketua Staf Perisikan, Brig Jen Faridhulathroth Hj Hashim, Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Pahang, Mej Khairul Ashinar Azid @ Aziz TUDM dan wakil-wakil Persatuan Veteran Negeri Pahang.
Gambar: Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein