NEGERI SEMBILAN: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman meraikan mantan Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS), Mej Jen Dato’ Padman K.P Bhaskaran dalam perbarisan penghargaan yang diadakan di Padang Kawad Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD), Kem Sunggala pada 21 Feb 2023.
“Sikap beliau yang sangat berdedikasi dalam mencurah bakti terhadap organisasi menjadikan kehilangannya dalam perkhidmatan sangat dirasai warga TD.
“Selain memiliki perwatakan yang disenangi, beliau turut mempunyai kredibiliti yang sememangnya diperakui oleh setiap lapisan pegawai dan anggota”, ujar TPTD.
Perbarisan penghargaan ini berkekuatan seramai 22 pegawai dan 364 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Shahanun Osman dari Skuadron Istiadat Berkuda dengan diiringi gabungan Pancaragam Pusat KAD dan Brassband 2 KAD di bawah pimpinan Mej Zaiful Azman Zainul Abidin.
Perbarisan dimulakan dengan Perbarisan Berjalan Lalu Kenderaan Jenis Alpha KAD melibatkan 23 buah kenderaan yang terdiri daripada Kereta Perisai Gempita 8×8 Armoured Command Vehicle, Kereta Perisai Gempita 8×8 Armoured Fighting Vehicle 30mm Anti Tank Guided Weapon, Kereta Perisai Gempita 8×8 Armoured Fighting Vehicle 30mm, Kereta Kebal Pendekar PT-91M dan Lipan Bara.
Mej Jen Dato’ Padman K.P Bhaskaran merupakan pegawai India pertama dalam KAD yang dinaikkan pangkat sehingga ke Mej Jen dan dianugerahkan gelaran Dato’ semenjak tahun 1981 sekaligus menjadikan beliau telah mencurah bakti terhadap organisasi selama lebih 41 tahun.
Beliau memanjat rasa syukur atas peluang yang telah diberikan serta membuktikan bahawa sesiapa sahaja mampu melakar kejayaan tanpa mengira agama dan bangsa.
Usai perbarisan, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati dan jamuan makan di Garaj Kenderaan Jenis A (KJA) 2 KAD sebelum diakhiri dengan upacara Street Lining sebagai tanda penghormatan terhadap Mej Jen Dato’ Padman K.P Bhaskaran.
Turut hadir, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Pengerusi KAD, Mej Jen Dato’ Zaidan Atan, Pengarah KAD, Brig Jen Mohd Fazly Mat Said dan pegawai-pegawai kanan KAD.
Gambar : Pbt Mohammad Fadzil Akirul